Tarif AS: Kesan Jangka Pendek Terhad, Risiko Perdagangan Kekal Tinggi – OCBC
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Tarif baharu di bawah Seksyen 301 Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi kesan terhad terhadap eksport ke negara itu dalam tempoh terdekat, disokong oleh pengecualian produk yang meluas serta kadar tarif efektif yang lebih rendah berbanding jangkaan awal.
Bagaimanapun, risiko perdagangan dan geopolitik kekal tinggi, kata pakar ekonomi kanan ASEAN OCBC Group Research, Lavanya Venkateswaran.
Beliau berkata langkah tarif terbaharu AS itu akan terus memberi tekanan kepada pengeksport di rantau ini, terutama susulan siasatan berterusan di bawah Seksyen 301 berkaitan isu lebihan kapasiti struktur dan pengeluaran berlebihan.
"Siasatan itu dilancarkan pada 11 Mac 2026 melibatkan 16 ekonomi, termasuk Malaysia. Dapatan siasatan masih belum diumumkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Beliau berkata OCBC menilai beban tarif efektif terhadap eksport dari India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dengan mengambil kira gabungan kadar tarif Negara Paling Disukai (MFN) mengikut produk, kadar tarif Seksyen 301 khusus negara serta pengecualian produk di bawah senarai pengecualian Seksyen 301.
"Penilaian itu turut mengambil kira pengecualian tambahan khusus negara bagi Indonesia dan Malaysia, jika berkenaan. Kami juga tidak memasukkan tarif terdahulu yang dikenakan ke atas komoditi seperti tembaga, aluminium, kayu balak dan produk kayu.
"Matlamatnya adalah untuk menganggarkan kadar tarif sebenar yang dikenakan ke atas import selepas mengambil kira pengecualian khusus produk, bukannya hanya berdasarkan kadar tarif umum yang diumumkan," katanya.
Menurut beliau, berdasarkan data 2025, import AS dari Singapura menerima jumlah pengecualian terbesar, diikuti Filipina, Thailand, Malaysia, India, Vietnam dan Indonesia.
Justeru, kadar tarif efektif ke atas import AS dari ekonomi berkenaan masih berada pada paras rendah.
"Momentum eksport dijangka kekal kukuh dalam tempoh terdekat, khususnya bagi sektor yang dikecualikan daripada tarif seperti semikonduktor dan farmaseutikal.
"Bagaimanapun, kesinambungan agenda tarif AS serta siasatan berterusan di bawah Seksyen 301 akan terus meningkatkan risiko perdagangan dan geopolitik," katanya.
-- BERNAMA