Road To MAHA Labuan 2026 Jana Jualan RM1.93 Juta, Tarik Lebih 72,000 Pengunjung

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 27 Julai (Bernama) -- Acara pameran pertanian dan agropelancongan Road To MAHA Labuan 2026 berjaya menjana sejumlah RM1.93 juta dari segi jualan dan menarik kehadiran 72,477 pengunjung  sepanjang empat hari penganjurannya yang berakhir pada 26 Julai lepas.

Angka itu sekali gus mengatasi sasaran awal sebanyak RM1.6 juta dan kehadiran 30,000 pengunjung, menurut urus setia atau sekretariat penganjurannya di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Ad Banner

“Sambutan amat menggalakkan ini jelas memaparkan sokongan padu orang awam terhadap industri pertanian dan makanan, selain keberkesanan inisiatif Road to MAHA dalam mempromosikan usahawan tempatan, produk berasaskan agro serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan," menurutnya kepada Bernama.

Acara itu dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, JWP dan Perbadanan Labuan yang mengetengahkan enam zon pameran bertemakan Keterjaminan Makanan dan Inovasi; Penternakan Moden; Akuakultur dan Industri Tuna; Agropelancongan dan Budaya; Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Belia; Empayar Makanan Labuan, selain kawasan jualan Agro MADANI.

Sebanyak 184 usahawan menyertai program itu, termasuk 117 dari Labuan dan selebihnya dari Sabah, Sarawak, Johor dan Perak yang  menawarkan pelbagai produk pertanian dan perikanan, ternakan, makanan diproses serta inovasi berasaskan agro.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Antara kemuncak program itu adalah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) strategik membabitkan Perbadanan Labuan dan Labuan Food Industries Sdn Bhd bagi membangunkan industri tuna serta ekosistem pemprosesan makanan laut di wilayah persekutuan berkenaan.

MoU itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail dan wakil Labuan Food Industries Diana Koh.

Menurut sekretariat, kerjasama itu akan memperkukuh rantaian nilai industri tuna menerusi aspek pemprosesan, teknologi, logistik, penyelidikan, promosi pelaburan serta pembangunan industri hiliran bernilai tinggi.

Kerjasama strategik itu juga dijangka menarik pelaburan RM2 bilion hingga RM5 bilion, mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan serta mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai hab strategik pemprosesan makanan laut dan pintu masuk perdagangan serantau.

Acara Road to MAHA Labuan 2026 berperanan sebagai permulaan menjelang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bagi mempromosi inovasi, memperkukuh keterjaminan makanan serta memperluaskan peluang pasaran kepada usahawan dari Labuan dan seluruh Malaysia.

-- BERNAMA