AMRO Naikkan Unjuran Pertumbuhan Malaysia Kepada 4.9 Peratus Bagi 2026 Susulan Eksport Dipacu AI

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 27 Julai (Bernama) -- Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus bagi 2026 berbanding unjuran awal 4.6 peratus, didorong permintaan kukuh berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Menurut AMRO dalam laporan Prospek Ekonomi Rantau ASEAN+3 (AREO) Suku Tahunan Julai 2026 yang dikeluarkan pada Isnin, pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan meningkat kepada 4.7 peratus pada 2027 manakala inflasi keseluruhan dikekalkan pada 2.0 peratus.

Ad Banner

Ketua kumpulan AMRO merangkap Ketua Ahli Ekonomi bagi Pemantauan Serantaunya Allen Ng berkata semakan unjuran pertumbuhan Malaysia telah didorong prestasi yang lebih kukuh berbanding jangkaan pada separuh pertama 2026, terutama dalam sektor eksport dan pelaburan.

"Kami telah menaikkan unjuran pertumbuhan bagi tempoh yang masih berbaki tahun ini berdasarkan kekuatan berterusan eksport dipacu AI selain pelaburan yang berlanjutan terutama dalam sektor pusat data serta pemulihan bagi pengeluaran gas asli cecair," katanya pada taklimat media secara maya pada Isnin.

Ng berkata prospek Malaysia bagi tempoh yang masih berbaki tahun ini kekal positif walaupun pertumbuhan dijangka sederhana pada separuh kedua berikutan sektor pembuatan berorientasikan domestik yang lebih perlahan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Bagaimanapun, kami menjangkakan sektor elektrik dan elektronik yang berorientasikan eksport akan terus mencatat prestasi kukuh," katanya.

Mengulas mengenai prestasi ringgit, Ng berkata mata wang tempatan itu akan terus dipengaruhi faktor luaran dan domestik, termasuk dasar monetari Amerika Syarikat (AS), sentimen risiko global serta asas ekonomi Malaysia.

"Saya berpandangan prospek pertumbuhan Malaysia yang lebih kukuh, aliran masuk pelaburan yang berterusan dan kedudukan sektor luaran yang baik akan terus menyokong ringgit.

"Bagaimanapun ketidakstabilan dalam jangka pendek dijangka berterusan berikutan ketidaktentuan yang masih berlaku di Asia Barat selain ketidakpastian mengenai dasar monetari AS dan dasar tarif negara itu," katanya.

Sementara itu, AMRO turut menyemak naik unjuran pertumbuhan rantau ASEAN+3 kepada 4.1 peratus bagi 2026 sebelum dijangka sederhana kepada 4.0 peratus pada 2027, disokong permintaan yang kukuh terhadap semikonduktor dan produk berkaitan AI.

Menurut AMRO, inflasi keseluruhan rantau itu diunjurkan pada kadar 1.6 peratus bagi 2026, susut berbanding unjuran terdahulu pada 1.8 peratus, yang mencerminkan andaian harga komoditi global yang lebih rendah.

Ketua Ahli Ekonomi AMRO Dong He berkata rantau ASEAN+3 kekal berdaya tahan, disokong permintaan domestik yang kukuh serta peranannya yang penting dalam rantaian bekalan AI global.

"Impak konflik di Asia Barat juga didapati tidak seburuk yang dijangkakan pada awalnya, walaupun kos tenaga dan input yang masih tinggi terus menimbulkan risiko kepada inflasi serta aktiviti perindustrian," katanya.

Beliau berkata tekanan inflasi secara keseluruhannya masih terkawal, dengan kenaikan harga tertumpu terutama kepada sektor tenaga dan pengangkutan manakala inflasi teras meningkat secara sederhana.

Beliau bagaimanapun berkata inflasi makanan berpotensi meningkat berikutan kos input yang tinggi serta cuaca buruk yang memberi kesan kepada harga.

-- BERNAMA