SC, SFC Hong Kong Meterai MoU Mudahkan Penyenaraian IPO Silang, Pelaburan Rentas Sempadan

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong (SFC) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama pasaran modal antara kedua-dua pihak.

Pengerusi Eksekutif SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata MoU itu adalah bagi mewujudkan rangka kerja praktikal untuk memudahkan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) silang, termasuk penyenaraian utama dan kedua, pengiktirafan bersama dana pelaburan serta peluasan peluang pelaburan rentas sempadan.

Kerjasama itu juga akan menyediakan pelabur di kedua-dua bidang kuasa dengan pilihan peluang pelaburan yang lebih luas, katanya.

Ad Banner

"Sebagai permulaan, Bursa Saham Hong Kong menempatkan lebih 2,900 syarikat tersenarai, dana dagangan bursa (ETF) dan amanah pelaburan hartanah (REIT), manakala Bursa Malaysia menawarkan lebih 1,300 syarikat tersenarai, ETF dan REIT.

"Selain meningkatkan kepelbagaian pelaburan pelabur dan penawaran produk, MoU ini juga dijangka menggalakkan aliran pelaburan portfolio asing yang lebih besar antara kedua-dua pasaran modal," katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.

Mohammad Faiz dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC Julia Leung menandatangani MoU berkenaan, disaksikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kerjasama itu juga selaras dengan aspirasi serantau yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk kepada peluang di rantau ini menerusi hubungan serantau yang lebih kukuh serta aliran pelaburan rentas sempadan yang lebih rancak.

Pada masa sama, ia turut melengkapi peranan Hong Kong sebagai pusat kewangan antarabangsa dan pintu masuk ke China.

Pada majlis itu, Bursa Saham Hong Kong Ltd (HKeX) turut mengiktiraf Bursa Malaysia sebagai Bursa Saham Diiktiraf (RSE). Pengiktirafan itu susulan MoU yang dimeterai antara HKeX dan Bursa Malaysia Bhd pada awal tahun ini.

Pengiktirafan berkenaan juga membolehkan syarikat awam yang mempunyai penyenaraian utama di Pasaran Utama Bursa Malaysia memohon penyenaraian kedua di Hong Kong.

Sementara itu, Johan Mahmood berkata keupayaan memanfaatkan pasaran modal Hong Kong akan membantu Malaysia merealisasikan aspirasi ekonominya apabila lebih banyak syarikat berteknologi tinggi, berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi memasuki pasaran.

Beliau berkata memandangkan Malaysia mengiktiraf Hong Kong sebagai sebuah pusat kewangan utama, selain 30 syarikat Malaysia telah tersenarai di Hong Kong, negara ini berada di landasan yang tepat untuk memacu agenda pembaharuan ekonomi di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Menurutnya, Malaysia juga berhasrat memperkukuh kerjasama dalam aspek standard profesional.

"Kita perlu bekerjasama secara menyeluruh bagi memastikan landskap kawal selia masing-masing dapat memanfaatkan kekuatan bersama supaya hubungan ini bukan sahaja tertumpu kepada aliran modal, malah turut diperkukuh dari segi kawal selia dan standard," katanya.

Dalam perkembangan lain, Johan berkata langkah kerajaan menangani krisis di Asia Barat, termasuk pelaksanaan subsidi diesel bersasar dan peningkatan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas, membuktikan komitmen kerajaan dalam menyokong ekonomi.

Langkah berkenaan, katanya, yang diselaraskan menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), akan membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi serta kestabilan negara di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.

"Kerajaan yakin langkah yang dilaksanakan akan terus memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.

"Paling penting kini ialah kerajaan perlu memastikan bekalan terus terjamin supaya aktiviti ekonomi dapat diteruskan tanpa gangguan," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai andaian harga penanda aras minyak dalam Belanjawan 2027.

-- BERNAMA