Ajinomoto Malaysia Raih Dua Pengiktirafan Di AREA 2026
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) melakar pencapaian penting dalam perjalanan kelestariannya menerusi dua anugerah bagi kategori Kepimpinan Hijau dan Pelaporan Kemampanan Korporat di Asia Responsible Enterprise Awards (AREA) 2026.
Anugerah anjuran Enterprise Asia dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang diadakan pada 26 Jun 2026, merupakan antara platform terkemuka di Asia yang mengiktiraf syarikat bagi amalan perniagaan mampan dan bertanggungjawab.
Pada majlis itu, AMB telah diwakili oleh Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif Clement Cheong Heng Choy, Ketua Pegawai Pengeluaran Yong Kum Cheng, Pengurus Besar Kanan Ramesh Sadiappan, Timbalan Pengurus Besar Kanan Lee Soon Howe serta Pakar Kanan, Nurul Hamizah Abd Halim.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat perencah makanan global itu memaklumkan sejak diperkenalkan pada 2011, anugerah itu telah mengiktiraf lebih daripada 2,000 syarikat yang merentasi 19 negara.
Dua pengiktirafan itu juga mencerminkan komitmen berterusan AMB dalam mengintegrasikan kelestarian atau kemampanan ke dalam operasi perniagaan dan strategi korporatn dengan penekanan terhadap penjagaan alam sekitar, tadbir urus yang bertanggungjawab serta pelaporan telus.
“Kategori Kepimpinan Hijau itu menyaksikan AMB diiktiraf bagi usaha berterusan memacu inisiatif penyahkarbonan dan ekonomi kitaran.
“Sejak 2018, kilang AMB di Bandar Enstek (Negeri Sembilan) telah melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan bangunan hijau, penggunaan teknologi cekap tenaga, penyelesaian tenaga boleh diperbaharui serta alternatif bahan api yang lebih bersih bagi mengurangkan pelepasan karbon,” menurutnya.
AMB memaklumkan, usaha itu menyumbang kepada pencapaian penarafan Emas Indeks Bangunan Hijau (GBI) bagi kilang berkenaan pada 2024.
Selain itu, AMB turut memperkukuh prestasi alam sekitar menerusi inisiatif tenaga boleh baharu dan pengurusan sisa.
Sistem solar fotovoltan 4.2 megawatt (MW) milik syarikat itu menjana kira-kira 4,500 MW jam (MWj) tenaga bersih setiap tahun yang menyumbang 24 peratus daripada jumlah penggunaan elektrik pada tahun kewangan 2025.
“Menerusi pendekatan 4R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula), Recycle (Kitar Semula) dan Recover (Pemulihan), AMB berjaya mencapai kadar kitar semula sisa pepejal sebanyak 92.4 peratus serta kadar pemulihan kehilangan makanan sebanyak 98.4 peratus pada 2025,” menurutnya.
Bagi kategori Pelaporan Kemampanan Korporat AREA, syarikat itu diiktiraf bagi komitmen ketelusan, akauntabiliti dan pendedahan laporan kelestarian yang berwibawa.
“Berpandukan empat tonggak kelestarian iaitu Memupuk Amalan Perniagaan Beretika, Mempromosikan Kesihatan dan Kehidupan Lebih Baik, Penjanaan Semula Alam Sekitar serta Memperkasa Individu dan Komuniti, AMB terus memperkukuh amalan pelaporannya selaras dengan keperluan tadbir urus Bursa Malaysia serta piawaian global.”
Bagi kemajuan masa depan, AMB kekal komited untuk mencipta nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan, sambil terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar menerusi amalan perniagaan yang mampan.
-- BERNAMA