BERITA TERKINI   Pengguna yang masih dikenakan fi RM1 di ATM diminta lapor ke Bank Negara untuk tindakan susulan - Fahmi | Pembukaan Pusat Pembangunan Global syarikat fintech di TRX bukti kestabilan politik dan dasar negara terus tarik pelaburan asing - Fahmi | Jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal tangani jenayah penipuan dalam talian telah ditubuhkan pada 18 Jun - Fahmi | Malaysia rancang guna semula tapak loji janakuasa arang batu yang akan ditamatkan operasi kepada hab tenaga boleh baharu - TPM Fadillah | Kegagalan untuk campur tangan, terutama negara-negara yang berupaya mempengaruhi rejim Zionis, hanya memberi ruang kepada rejim itu untuk memperluaskan peperangannya di rantau itu - PM Anwar | 

KDNK Sabah Naik 5.1 Peratus, Nilai KDNK Cecah RM88.8 Bilion

KOTA KINABALU, 2 Julai (Bernama) -- Sabah berjaya mencatatkan prestasi ekonomi lebih kukuh pada 2025 apabila keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negeri berkembang sebanyak 5.1 peratus berbanding 1.2 peratus pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan nilai KDNK Sabah pada harga semasa meningkat kepada RM88.8 bilion berbanding RM84.5 bilion pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak RM4.3 bilion.

Menurut kenyataan itu, prestasi Sabah adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terus menunjukkan momentum positif apabila berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, sekali gus mengekalkan kadar pertumbuhan sama seperti tahun sebelumnya.

Ad Banner

“Sektor perkhidmatan serta sektor perlombongan dan pengkuarian kekal sebagai komponen terbesar kepada KDNK Sabah dengan sumbangan kumulatif 74.1 peratus, diikuti sektor pertanian yang menyumbang sebanyak 13.9 peratus.

“Penyumbang seterusnya ialah sektor pembuatan dan sektor pembinaan yang masing-masing menyumbang 7.2 peratus dan 4.4 peratus,” menurut kenyataan itu.

DOSM memaklumkan sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama ekonomi negeri berkembang 4.5 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2024, dipacu subsektor berkaitan pelancongan iaitu perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, selain perkhidmatan kerajaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sektor perlombongan dan pengkuarian pula, yang merupakan penyumbang kedua terbesar ekonomi Sabah, naik kepada 4.9 peratus berbanding negatif 4.9 peratus pada 2024, susulan peningkatan pengeluaran minyak mentah dan kondensat serta gas asli.

Selain itu, sektor pertanian pula kembali pulih dengan pertumbuhan 0.9 peratus berbanding negatif 3.2 peratus pada tahun sebelumnya, didorong peningkatan subsektor tanaman khususnya kelapa sawit.

Sektor pembuatan turut meningkat kepada 5.0 peratus berbanding 1.2 peratus pada 2024, didorong produk minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan dan pemprosesan makanan.

Sementara itu, sektor pembinaan di Sabah mengukuh 28.3 peratus berbanding 21.5 peratus pada 2024, disokong pertumbuhan dalam semua subsektor terutama kejuruteraan awam.

Dari segi prestasi KDNK per kapita, Sabah merekodkan peningkatan sebanyak RM550 kepada RM31,125 berbanding RM30,575 pada tahun sebelumnya, namun masih jauh di bawah paras nasional iaitu RM59,167.

Secara keseluruhan, ekonomi Sabah menyumbang 5.1 peratus kepada ekonomi Malaysia, kekal sama berbanding tahun sebelumnya dan mengekalkan kedudukan ketujuh sebagai kuasa ekonomi negara.

-- BERNAMA