Maybank Tingkat Sasaran Pembiayaan Mampan Sekitar ASEAN Kepada US$73 Bilion Menjelang 2030
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 30 Jun (Bernama) -- Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) komited untuk menggerakkan sejumlah US$73 bilion (US$1 = RM4.06) dalam bentuk pembiayaan mampan di serata ASEAN menjelang 2030.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata ini sekali gus meneruskan sasaran Maybank sambil menyokong apa disifatkan sebagai peralihan bertanggungjawab serta teratur yang memacu pertumbuhan dan daya tahan jangka panjang.
Beliau berkata sasaran yang dipertingkat itu juga berlandaskan kejayaan pencapaian kumpulan itu menggerakkan kira-kira US$43 bilion pembiayaan mampan setakat 2025 yang mengatasi komitmen awal serta membuktikan momentum yang kian ketara di serata rantau berkenaan.
“Tumpuan kami bukan setakat membiayai projek yang sudah bercirikan hijau tetapi juga menyokong sektor yang memerlukan peralihan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Pembiayaan Mampan Maybank Indonesia 2026 di sini pada Selasa.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perindustrian Indonesia Faisol Riza, Pengerusi Lembaga Pesuruhjaya Pengawasan Perkhidmatan Kewangan Indonesia (OJK) Friderica Widyasari Dewi, Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan Maybank Datuk Shahril Azuar Jimin dan Pengarah Presiden Maybank Indonesia Steffano Ridwan.
Menjelaskan selanjutnya, Khairussaleh juga menyifatkan sasaran baharu itu sebagai paparan tumpuan Maybank terhadap sektor-sektor sokongan yang sedang melalui peralihan, termasuk industri berintensifkan pelepasan dan sukar dikurangkan dari segi pelepasan karbon dengan membantu pelanggan meningkatkan kecekapan, menerimaguna teknologi lebih bersih dan membangunkan laluan transformasi diyakini.
Beliau berkata komitmen itu juga membuktikan kepercayaan Maybank bahawa kemampanan bukan satu agenda berasingan, sebaliknya menjadi aspek penting dalam membentuk nilai jangka panjang dengan menyokong kemajuan ekonomi, mengukuhkan daya tahan perniagaan selain menyampaikan impak bermakna kepada komuniti di bawah perkhidmatannya di serata ASEAN.
Sementara itu, Faisol berkata kerajaan Indonesia komited dalam memastikan pertumbuhan industri negara berkenaan bergerak seiringan transformasi ke arah industri lebih hijau, cekap dan berkarbon rendah.
“Sokongan kewangan, teknologi dan kerjasama antarabangsa kekal menjadi teras dalam memacu transformasi,” katanya.
Faisol berkata Kementerian Perindustrian itu menjangkakan keperluan pelaburan bagi usaha penyahkarbonan perindustrian untuk tempoh 2026 hingga 2060 adalah kira-kira US$300 bilion ketika pembiayaan hijau sedia ada masih cenderung mengutamakan projek yang dianggap sebagai berpotensi menguntungkan.
Bagi mengurangkan jurang itu, beliau berkata kementerian kini dalam proses menyediakan satu platform khusus untuk menghubungkan pemain industri dari segenap saiz dengan penyedia pembiayaan yang disokong peraturan peringkat menteri mengenai pembiayaan hijau yang diharapkan dapat dilaksanakan pada tahun ini.
Pada masa sama, beliau berkata forum strategik seperti yang dianjurkan itu, menjadi platform penting untuk menghimpunkan sektor perbankan, industri dan rakan pembangunan antarabangsa manakala dasar konsisten, komitmen industri dan pembiayaan inovatif akan menjadi kejayaan transformasi industri hijau Indonesia.
Selain itu, forum hari ini juga menyaksikan pelancaran Akaun Pelaburan Terhad Patuh Syariah Mampan (SRIA) Maybank Indonesia, sebuah penyelesaian pelaburan patuh Syariah yang membolehkan pelanggan menyumbang terus bagi membiayai projek-projek hijau yang menyokong peralihan tenaga Indonesia dan pertumbuhan ekonomi mampan selain melabur mengikut prinsip-prinsip Islam.
Dalam pada itu, Steffano berkata SRIA itu memaparkan usaha berterusan Maybank Indonesia menawarkan penyelesaian pelaburan yang menggabungkan prinsip kewangan Islam dengan elemen kemampanan dalam pasaran Indonesia.
“Penyepaduan kemampanan dalam landskap kewangan itu bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan pengawalseliaan, tetapi menjadi instrumen penting dalam mengekalkan daya saing perniagaan baik di pasaran domestik mahu pun global,” katanya.
-- BERNAMA