BERITA TERKINI   Kekerapan LRT3 ditetapkan pada 7.5 minit waktu puncak, akan disemak semula berdasarkan trend jumlah penumpang dalam sebulan - Loke | ‘Program Pemandu Sihat dan Selamat’ beri kemudahan pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan - Loke | Sebanyak RM12.4 juta telah diperuntukkan untuk ‘Program Pemandu Sihat dan Selamat’ - Loke | Dewan Rakyat lulus RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 | Lebih 7,000 aduan deepfake diterima MCMC setakat 15 Jun lepas - Teo Nie Ching | 

Pengeksport Malaysia Catat Potensi Perdagangan RM160 Juta Di Ekspo Import Korea 2026

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Delegasi Malaysia telah memperoleh prospek eksport sebanyak RM160 juta di Ekspo Import Korea (KIE) 2026 yang baru sahaja berakhir, mengatasi sasaran awal sebanyak RM120 juta, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

MATRADE memaklumkan bahawa Pavilion Malaysia diselaraskan oleh agensi itu, berperanan sebagai hab komersial utama untuk 17 syarikat Malaysia yang berpotensi tinggi, termasuk 10 di bawah program ‘Gate to Global’ Majlis Amanah Rakyat (MARA).

MATRADE telah mewujudkan perkongsian strategik dengan MARA menerusi memorandum persefahaman ditandatangani pada 6 November, 2025, dan sejak itu, beberapa siri inisiatif bersama telah dijalankan.

Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata petunjuk perdagangan luar biasa diperoleh di KIE 2026 yang diadakan dari 23 hingga 25 ​​Jun 2026, di Pusat Konvensyen dan Pameran (COEX), Seoul, menekankan daya tarikan produk Malaysia kukuh di pasaran Korea Selatan, sekali gus mengesahkan semula keupayaan pengeksport Malaysia untuk memenuhi piawaian tinggi pengguna Korea Selatan.

"Perbelanjaan penggunaan domestik swasta Korea Selatan, dijangka hampir US$924.1 bilion (US$1=RM4.06) pada 2026, merupakan bukti bahawa pasaran menawarkan peluang cerah untuk produk Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abu Bakar berkata MATRADE telah berjaya menghubungkan pengeksport Malaysia dengan pembeli terkemuka Korea Selatan melalui pendekatan promosi berbilang saluran strategik, mengubah minat produk yang besar kepada hasil perniagaan boleh diukur.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pencapaian itu memperkukuh jejak komersial di Asia Timur, sekali gus meletakkan pengeksport Malaysia pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan sepenuhnya akses pasaran keutamaan yang disediakan oleh perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti FTA ASEAN-Korea dan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

-- BERNAMA