BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Susulan Penyusutan Harga Minyak

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meningkat pada akhir dagangan Isnin, didorong oleh harga minyak yang lebih rendah, kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen itu turut disokong oleh penyusutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat serta kelemahan nilai mata wang negara maju itu yang hanya melonjakkan lagi daya tarikan emas.

Ad Banner

Beliau berkata pada awalnya peningkatan emas dianggap bercanggah dengan jangkaan berikutan sebarang prospek perjanjian damai di Asia Barat lazimnya mengurangkan daya tarikan logam berharga itu sebagai aset selamat.

Namun, pasaran sebaliknya lebih dipengaruhi oleh kesan penurunan harga minyak terhadap jangkaan inflasi, hasil bon serta dolar AS.

“Prospek perjanjian damai Asia Barat sepatutnya mengurangkan risiko geopolitik. Namun, kesan (pengaruh) lebih kuat itu adalah daripada faktor minyak, hasil bon dan dolar,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada akhir urus niaga, kontrak bulan semasa Jun 2026 naik ke paras US$4,348.40 setiap auns troy daripada US$4,232.70 Jumaat lepas manakala Julai 2026 menokok kepada US$4,360.40 setiap auns troy daripada US$4,249.30 dan Ogos 2026 meningkat kepada US$4,381.60 setiap auns troy daripada US$4,265.70.

Kontrak September 2026 mencatat US$4,386.10 setiap auns troy manakala Oktober 2026 dan Disember 2026 masing-masing pada US$4,405.20 setiap auns troy.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 17 lot daripada 22 lot pada Jumaat lepas dan kepentingan terbuka menguncup kepada 84 kontrak daripada 89 kontrak sebelumnya.

Selain itu, emas fizikal berada pada US$4,185.95 setiap auns troy sewaktu penetapan oleh London Bullion Market Association (LBMA) pada 12 Jun, 2026.

-- BERNAMA