BERITA TERKINI   PM Anwar catat kadar sokongan 52 peratus, tertinggi berbanding pemimpin politik lain - tinjauan Merdeka Centre | 153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | 

Alliance Bank, CGC Jalin Kerjasama Tawar RM2 Bilion Pembiayaan Untuk PKS

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) memeterai perjanjian jaminan portfolio bagi mempertingkatkan akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Alliance Bank berkata menerusi kerjasama itu bank akan menyediakan sehingga RM2 bilion dalam pelbagai penyelesaian pembiayaan, dengan CGC memberikan sokongan jaminan portfolio.

“Bank akan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada PKS yang layak untuk digunakan bagi modal kerja dan pengembangan perniagaan.

Ad Banner

"Inisiatif ini menggariskan komitmen Alliance Bank dalam menyokong PKS dengan memperluaskan saluran pembiayaan yang dapat membolehkan perniagaan merebut peluang pertumbuhan kritikal serta membina kemampanan jangka panjang di tengah-tengah ketidaktentuan global semasa,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Alliance Bank Kellee Kam berkata inisiatif bank bersama CGC itu mencerminkan mandat proaktifnya dalam memperjuangkan PKS tempatan.

“Kami menyedari bahawa keperluan cagaran boleh mengekang perniagaan yang berdaya maju. Melalui jaminan portfolio ini, kami dapat memastikan usahawan mempunyai kecairan yang diperlukan untuk berinovasi, mengembangkan perniagaan dan mengharungi cabaran ekonomi dengan lebih yakin,” kata beliau.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bank itu berkata struktur jaminan portfolio itu membolehkan pihaknya memperluaskan pembiayaan dengan lebih cekap bagi menyokong PKS pada pelbagai peringkat kitaran perniagaan mereka termasuk yang berdepan kekangan cagaran terhad.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Mohamed Nazri Omar berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen CGC dalam memperkukuh akses pembiayaan kepada PKS serta menyokong perniagaan pada pelbagai peringkat pertumbuhan.

“Jaminan portfolio RM2 bilion itu akan membolehkan lebih banyak perniagaan memperoleh pembiayaan bagi modal kerja dan pengembangan, selain meningkatkan daya tahan mereka dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah,” katanya.

Sejak 2018, Alliance Bank menyalurkan hampir RM3 bilion di bawah pelbagai skim jaminan CGC, yang memberi manfaat kepada lebih 5,000 PKS di seluruh negara.

Bank itu berkata kerjasama terbaharu ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha mempromosikan keterangkuman kewangan dan memperkukuh daya tahan PKS.

-- BERNAMA