Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Khamis selepas disokong oleh momentum menaik dalam harga minyak mentah dan niaga hadapan minyak sayuran saingan, kata seorang peniaga.
Ketua Penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, kenaikan harga minyak mentah telah dipacu oleh serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran baru-baru ini.
“Harga minyak mentah melonjak dalam dagangan awal Khamis selepas laporan serangan baru AS semalaman di tapak tentera Iran, meningkatkan ketegangan walaupun Washington dan Tehran sedang berunding untuk menamatkan konflik tiga bulan mereka,” katanya kepada Bernama.
Sekarang ini, minyak mentah Brent melonjak 1.71 peratus kepada US$95.90 setong.
Selain harga minyak, Anilkumar berkata niaga hadapan minyak sayuran China dan niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) yang lebih kukuh turut menyokong sentimen pasaran.
“Niaga hadapan minyak sawit dilihat didagangkan lebih tinggi seiring dengan momentum menaik dalam niaga hadapan minyak sayuran China, termasuk minyak kacang soya dan isirong sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) di Bursa Komoditi Dalian serta minyak sesawi di Bursa Komoditi Zhengzhou selain momentum kukuh dalam niaga hadapan minyak kacang soya CBOT,” tambahnya.
Pada penutupan, kontrak Jun 2026 meningkat RM33 kepada RM4,462 satu tan, Julai 2026 naik RM39 kepada RM4,505 satu tan dan Ogos 2026 menambah RM41 kepada RM4,537 satu tan.
Kontrak September 2026 menokok RM38 kepada RM4,560 satu tan, Oktober 2026 melonjak RM32 kepada RM4,585 satu tan dan November 2026 adalah RM30 lebih baik kepada RM4,611 satu tan.
Jumlah dagangan turun kepada 59,830 lot berbanding 63,916 lot yang dicatatkan pada Selasa, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 285,564 kontrak daripada 284,109 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan adalah RM20 lebih tinggi kepada RM4,490 satu tan.
-- BERNAMA