LBS Bina Group Kekal Berdaya Tahan Pada Suku Pertama 2026 Di Tengah-tengah Peningkatan Kos

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- LBS Bina Group Bhd kekal berdaya tahan bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2026 di tengah-tengah penyiapan beberapa fasa projek pembangunan dan peningkatan kos di seluruh sektor pembangunan hartanah.

Keuntungan bersih pemaju hartanah itu bagaimanapun susut kepada RM17.02 juta bagi suku pertama 2026 daripada RM28.22 juta pada tahun sebelumnya.

Ia juga mencatatkan perolehan sebanyak RM296.51 juta bagi suku berkenaan.

Ad Banner

"Perbezaan prestasi di antara suku pertama 2026 dengan suku yang sama pada tahun sebelumnya dipengaruhi oleh jangka masa penyiapan projek, memandangkan beberapa pembangunan mencapai peringkat siap atau siap sepenuhnya.

"LBS Bina Group terus mencatatkan momentum jualan menggalakkan disokong oleh permintaan terhadap projek-projek utama termasuk Centrum Iris di Cameron Highlands, Alam Perdana Industrial Park dan KITA Sejati," menurut syarikat itu  dalam satu kenyataan hari ini.

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama hasil LBS dengan sumbangan sebanyak 85.3 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil dan menyumbang RM36.2 juta kepada keuntungan sebelum cukai (PBT).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Segmen pembinaan dan perdagangan turut merekodkan peningkatan pendapatan melebihi empat kali ganda kepada RM37.6 juta disokong oleh sumbangan daripada subsidiari asing serta penambahbaikan dalam pengoptimuman kos, sekali gus mencatatkan PBT sebanyak RM3.1 juta.

Sehingga 30 April, 2026, kumpulan memiliki jumlah simpanan tanah seluas 1,585 hektar yang menyokong pembangunan jangka panjang.

Jualan belum dibil LBS kekal kukuh pada RM1.1 bilion sekali gus memaparkan keterlihatan hasil dan pendapatan bagi suku-suku akan datang.

"Kumpulan kini berada pada peringkat persediaan lanjut untuk melaksanakan pembangunan perbandaran bersepadu di Kwasa Damansara, sebuah lokasi strategik yang dijangka memperluas portfolio kumpulan," kata LBS Bina Group.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Tan Sri Lim Hock San berkata persekitaran operasi kekal mencabar berikutan ketidaktentuan luaran yang berpunca daripada konflik Asia Barat serta tekanan kos berterusan yang memberi kesan kepada industri hartanah.

"Namun begitu, prestasi suku pertama 2026 ini mencerminkan asas kukuh tersebut apabila kumpulan terus mencatat keuntungan di samping merekod momentum jualan menggalakkan melalui projek-projek utama," katanya.

Lim memaklumkan walaupun prestasi suku ini dipengaruhi oleh faktor masa apabila projek di tahap siap atau hampir siap sepenuhnya, jualan belum dibil sebanyak RM1.1 bilion menyumbang keterlihatan pendapatan positif bagi suku-suku akan datang.

 “Bersempena ulang tahun ke-65 LBS pada tahun ini dengan slogan ‘Bersama Membina Masa Depan’, kami kekal komited untuk memperkukuh kecekapan operasi, melaksanakan pelancaran projek strategik mengikut permintaan pasaran serta mengurus kos secara berhemah.

 "Keluasan simpanan tanah, pelancaran projek akan datang serta persediaan aktif bagi pembangunan di Kwasa Damansara akan terus menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang LBS Bina Group," katanya.

Pada masa yang sama, peningkatan nisbah pembayaran dividen minimum kepada 40 peratus yang berkuat kuasa tahun kewangan 2025 mencerminkan keyakinan ahli lembaga pengarah terhadap kemampanan pendapatan kumpulan serta komitmen syarikat untuk mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan pulangan mampan kepada para pemegang saham.

-- BERNAMA