BERITA TERKINI   Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | Penerangan mengenai krisis bekalan global akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan - Akmal Nasrullah | Malaysia kekal pendirian tidak iktiraf junta Myanmar, lawatan tidak rasmi saluran komunikasi tangani krisis - Mohamad Hasan | 

Misi Perak Ke China Buka Komitmen Pelaburan Bernilai Lebih RM1.6 Bilion - Saarani

IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Misi perdagangan dan pelaburan kerajaan negeri Perak ke China selama lapan hari dari 17 Mei lepas telah membuka prospek dan komitmen pelaburan baharu bernilai lebih RM1.6 bilion melibatkan sektor teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), pusat data, tenaga hijau, automotif dan industri masa depan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkembangan itu sekali gus memperkukuh usaha menarik pelaburan berkualiti yang memberi limpahan ekonomi, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menyokong hala tuju pembangunan Perak Sejahtera 2030.

“Antara hasil utama misi ini ialah komitmen pelaburan RM1 bilion bagi pembangunan NexQuantum AI Digital Park @ SVTP susulan lawatan kerja ke ibu pejabat Ennoconn di Kunshan serta Jiading Big Data Centre di Shanghai bagi melihat perkembangan teknologi AI, pusat data, infrastruktur digital dan ekosistem industri pintar,” katanya dalam kenyataan.

Ad Banner

Katanya pembangunan projek ini adalah tertakluk kepada kelulusan Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF), iaitu platform penyelarasan strategik yang dipengerusikan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Menteri Digital.

Beliau berkata langkah itu bagi menilai, menyelaras dan memantau pembangunan projek pusat data di Malaysia secara lebih tersusun, strategik dan mampan.

Sementara itu, Saarani berkata misi lawatan ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama Strategik antara Perak SADC dan Shuifa Energy Group Co Ltd bagi meneroka pembangunan projek tenaga boleh baharu berkonsepkan floating aqua-voltaic berkapasiti 30 megawatt puncak (MWp) di Tanjung Tualang, dengan prospek pelaburan antara RM180 juta dan RM200 juta dalam tempoh tiga tahun.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Yantai Yatong Precision Mechanical Technology, syarikat yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam pembuatan komponen automotif turut memilih Perak sebagai lokasi kilang pertamanya di luar negara dengan pelaburan bernilai RM160 juta di Tanjong Malim Hi-Tech Park.

“Selain itu, Ningbo Fresh Technology Co Ltd yang telah mempunyai kilang pembuatan komponen automotif di Tanjong Malim turut berhasrat mengembangkan operasi dengan pelaburan tambahan bernilai RM263 juta di Tanjong Malim Hi-Tech Park bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport,” katanya.

Dalam pada itu, katanya melalui InvestPerak dengan sokongan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Shanghai, sesi padanan perniagaan bersama lebih 100 pemain industri China turut dianjurkan bagi memperkenalkan peluang pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), automotif, mesin dan alat ganti, industri hiliran berasaskan mineral, industri halal serta pemprosesan makanan.

Katanya kesemua prospek dan komitmen pelaburan ini akan disusuli oleh agensi berkaitan bagi memastikan ia diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar.

“Ini khususnya dalam memperkukuh ekosistem industri negeri, mempercepat pemindahan teknologi, membangunkan bakat tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Perak,” katanya.

-- BERNAMA