OCBC Malaysia Perkukuh Sokongan Kepada PKS Melalui SME SRF BNM
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan OCBC Al-Amin Bank Bhd (secara bersama OCBC Malaysia) mengumumkan sokongan lebih kukuh kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.
Menurut OCBC Malaysia, sokongan ini akan disediakan menerusi dana yang diperuntukkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) bernilai RM5 bilion.
Kemudahan tersebut menyediakan bantuan kewangan dan modal kerja tepat pada masanya kepada PKS yang berdaya maju untuk membantu mereka menangani cabaran operasi dan memenuhi keperluan aliran tunai jangka pendek.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Malaysia Tan Chor Sen berkata kelulusan dan penyerahan SME SRF akan dibuat secara lebih pantas untuk memastikan syarikat memerlukan boleh mendapat dana secepat mungkin.
“Kemudahan ini menyokong rangkaian program kami sedia ada bagi pelanggan PKS dan kami akan terus berhubung rapat dengan mereka untuk lebih memahami keperluan mereka yang sentiasa berubah selain menyediakan sokongan praktikal dalam mereka mengharungi cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan.
Di bawah SME SRF, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM750,000 pada kadar sehingga 3.75 peratus setahun, termasuk yuran jaminan, dengan tempoh sehingga lima tahun.
Kemudahan tersebut disokong oleh perlindungan jaminan sehingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd.
Permohonan dibuka sehingga 31 Dis 2026 atau sehingga dana digunakan sepenuhnya.
Untuk maklumat lanjut, PKS boleh menghubungi pengurus hubungan masing-masing atau pusat perbankan perniagaan OCBC Malaysia dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang.
-- BERNAMA