BERITA TERKINI   PM Anwar ucap tahniah kepada pasukan negara atas kejayaan muncul juara acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 | 
Ad Banner
Ad Banner

Airbus Yakin Raih Sebahagian Besar Pasaran Asia Pasifik Walaupun Berdepan Cabaran Global

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Airbus mengekalkan komitmennya terhadap matlamatnya untuk menguasai sebahagian besar daripada permintaan terhadap pesawat di rantau Asia Pasifik dalam tempoh dua dekad akan datang, diunjurkan 19,560 pesawat penumpang atau 46 peratus daripada jumlah permintaan global walaupun terdapat ketidaktentuan berikutan perang di Asia Barat.

Antara pemacu utama pertumbuhan ialah kira-kira 1.5 bilion penduduk yang akan memasuki kumpulan pendapatan sederhana, meningkatkan permintaan keseluruhan terhadap perjalanan udara di rantau ini, kata Presiden Airbus bagi Asia Pasifik Anand Stanley.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pasaran utama Airbus di Asia Pasifik termasuklah ekonomi utama China dan India manakala Malaysia adalah yang ketiga terbesar, dengan Indonesia, Vietnam dan Filipina merupakan enjin pengembangan yang penting.

Menurut unjuran pasaran terkini Airbus, rantau ini akan memerlukan 19,560 pesawat penumpang dalam tempoh 20 tahun akan datang daripada jumlah permintaan global sebanyak 42,520.

Sehingga Februari lepas, jumlah tempahan pesawat Airbus di seluruh dunia yang belum dipenuhi adalah sebanyak 9,037 pesawat, dengan kira-kira 35 peratus atau 3,190 pesawat dari rantau Asia Pasifik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Oleh itu, prospek jangka panjang untuk rantau ini kekal utuh, disokong oleh perubahan demografi, pengembangan ekonomi dan keperluan kesalinghubungan yang meningkat walaupun perkembangan jangka pendek terus berubah.

Beliau berkata prospek syarikat pengeluar pesawat dari Eropah itu amat positif berikutan pemacu pertumbuhan asas yang kukuh walaupun ketidaktentuan geopolitik yang berterusan pada masa ini mengganggu perjalanan udara.

“Walaupun masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai impak jangka pendek daripada keadaan semasa, kami amat yakin dengan prospek permintaan jangka panjang untuk Asia Pasifik,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

 

Pemacu Asas Mengukuhkan Permintaan

Mengulas lanjut, Stanley berkata pertumbuhan rantau ini didorong oleh jumlah pengembara kelas pertengahan yang meningkat dengan pesat, dianggarkan 1.5 bilion orang dijangka memasuki kumpulan pendapatan tersebut, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perjalanan udara dalam pasaran domestik, serantau dan jarak jauh.

“Hari ini, rantau Asia Pasifik menyumbang hampir satu pertiga daripada perniagaan dan pendapatan kami.

“Kami mempunyai kerjasama dan kehadiran yang kukuh dengan 27 tapak di 13 negara dan wilayah, 9,000 pekerja dan 600 pembekal peringkat 1 dan peringkat 2 dalam rantaian bekalan kami,” katanya.

Pemacu asas seperti demografi, pertumbuhan ekonomi, bentuk geografi rantau ini seperti kepulauan dan pertumbuhan kelas pertengahan yang meningkat akan terus memacu permintaan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

Berdasarkan gabungan semua faktor ini, “kami amat percaya bahawa akan ada pertumbuhan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Beliau juga berkata syarikat penerbangan tambang rendah kekal sebagai pendorong utama, terutamanya dalam pasaran sedang pesat membangun manakala permintaan terhadap kesalinghubungan jarak jauh menyokong pertumbuhan segmen pesawat besar dan kargo.

Portfolio pesawat besar Airbus, termasuklah Airbus A330neo dan Airbus A350, turut mencatatkan penggunaan yang meningkat berikutan peningkatan kecekapan bahan api, pelepasan karbon yang lebih rendah sehingga 25 peratus dan keupayaan jarak yang lebih luas.

Dalam segmen kargo, Airbus A350F menjadi penyelesaian generasi baharu, yang menawarkan pengurangan penggunaan bahan api sehingga 40 peratus dan pelepasan karbon dioksida yang rendah berbanding pesawat kargo Boeing 747 dengan muatan yang setara.

“Dalam penawaran kami bagi pesawat moden yang cekap bahan api dengan keupayaan jarak jauh, Airbus telah mengatasi Boeing dalam pasaran utama pesawat besar untuk memenuhi perubahan struktur sejak dua tahun lepas,” katanya.

Mengenai jumlah tempahan pesawat Airbus di seluruh dunia yang belum dipenuhi dengan sebanyak 35 peratus atau 3,190 pesawat dari rantau Asia Pasifik, Stanley berkata Asia Tenggara menyumbang kira-kira satu pertiga daripada permintaan Asia Pasifik, mengetengahkan kepentingannya yang meningkat di samping China dan India.

Beliau berkata bahagian pasaran Airbus untuk pesawat satu lorong di rantau Asia Pasifik menyumbang 55 peratus daripada pesawat yang sedang beroperasi, dengan 57 peratus daripada jumlah tempahan yang belum dipenuhi manakala pesawat besar sebanyak 45 peratus daripada pesawat yang beroperasi, dengan 56 peratus daripada jumlah tempahan yang belum dipenuhi.

 

Strategi Meningkatkan Pengeluaran untuk Memenuhi Permintaan 

Mengenai isu rantaian bekalan dan penghantaran, beliau berkata Airbus sedang melaksanakan strategi meningkatkan pengeluaran, menambah kadar pengeluaran dalam program pesawatnya.

“Oleh itu, Airbus sedang meningkatkan kadar pengeluarannya dalam proses yang dinamakan ‘peningkatan’ untuk memenuhi permintaan yang tinggi dan hampir separuh daripadanya adalah dari rantau Asia Pasifik,” katanya.

Syarikat itu menyasarkan untuk menghantar 870 pesawat pada 2026, meningkat daripada 793 unit pada 2025.

Sasaran pengeluaran bulanan yang dirancang termasuklah 13 pesawat A220 menjelang 2028, 70-75 pesawat A320 (2027), lima pesawat A330 (2029) dan 12 pesawat A350 (2028).

Walaupun mengakui terdapat kekangan rantaian bekalan yang berterusan, Stanley berkata keadaan keseluruhan bertambah baik melalui strategi meningkatkan pengeluaran, memberi keyakinan kepada Airbus untuk meneruskan pelan peningkatan pengeluarannya.

“Kami yakin bahawa permintaan jangka panjang akan sepadan dan memperkukuh unjuran pasaran jangka panjang kami.

“Jika melihat dalam masa terdekat, terutamanya bagi syarikat penerbangan Asia Pasifik, kami melihat syarikat penerbangan perkhidmatan penuh di Asia Pasifik sedang menyesuaikan operasi dan strategi mereka untuk memenuhi permintaan domestik dan serantau serta permintaan perjalanan penumpang dan kargo jarak jauh,” katanya.

Beliau berkata separuh daripada permintaan pada peringkat global pada masa depan adalah dari Asia Pasifik, terutamanya China dan India, dengan pasaran ketiga terbesar ialah Malaysia, pasaran utama strategik untuk Airbus dengan pelanggan utamanya ialah AirAsia dan Malaysia Airlines.

-- BERNAMA