BERITA TERKINI   Sehingga 18 Jun lepas, pembiayaan lebih RM700 juta telah diluluskan kepada lebih 1,000 PKS - Akmal Nasrullah | Jumlah tenaga buruh meningkat 17.33 juta orang setakat April 2026, kehilangan pekerjaan turun 6,197 orang setakat 22 Jun - Akmal Nasrullah | Sehingga Mei 2026, sebanyak 11 pemaju CRESS telah berdaftar melibatkan lapan pengguna hijau - Fadillah Yusof | Ahli IKRAM Fakhrudin Abd Karim didakwa di mahkamah atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM17 juta | Bekas speaker DUN Johor Puad Zarkashi umum keluar UMNO | 

PM Anwar Yakin Sasaran Perdagangan Dua Hala Dengan Turkiye Dapat Dicapai

Daripada Muhammad Saufee Rosman

ISTANBUL, 8 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sasaran perdagangan dua hala bernilai US$10 bilion (US$1 = RM4.05) Malaysia-Turkiye dapat dicapai berdasarkan program dan pelaburan yang sedang berjalan.

Beliau berkata keyakinan itu disuarakan berasaskan pelaksanaan program yang berkesan serta pelaburan yang mula menunjukkan pertumbuhan positif.

Ad Banner

Anwar berkata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan memperincikan program perdagangan dan pelaburan yang telah dan yang mula berkembang.

“Itu (akan) menunjukkan keupayaan kita mencapai jumlah perdagangan US$10 bilion berbanding jangkaan awal,” kata beliau dalam sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di Turkiye, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Turkiye mempunyai ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan manakala Malaysia walaupun mempunyai saiz ekonom lebih kecil namun, berkembang pesat dan muncul sebagai destinasi menarik untuk pelaburan bernilai tinggi terutama dalam semikonduktor, kecerdasan buatan, pusat data, teknologi baharu serta industri nadir bumi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Saya berpendapat kerjasama ini akan lebih bermakna bukan sahaja dari segi tahap perdagangan tradisional malah juga dalam disiplin baharu yang akan diperkukuhkan menerusi kerjasama pendidikan dan penyelidikan antara kedua-dua negara,” kata beliau.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (US$4.92 bilion), menjadikan republik ini sebagai rakan ekonomi penting Malaysia.

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (US$5.28 bilion).

-- BERNAMA