BERITA TERKINI   Ewon Benedick kekal Presiden UPKO bagi penggal 2026-2029 | Wong Chen umum letak jawatan Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini | PM Anwar kini jalani rawatan fisioterapi, pastikan proses pemulihan berjalan baik - Ketua Pasukan Perubatan PM | PM Anwar selamat jalani pembedahan laparoskopi secara elektif, rawat hernia perut - Ketua Pasukan Perubatan PM | Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli 2026-2035 komitmen kerajaan tingkat status kesihatan, kesejahteraan komuniti Orang Asli - Dzulkefly Ahmad | 

MITI Raih Potensi Pelaburan Bernilai RM450 Juta Dalam Sektor E&E Dan Jentera Dari Belanda

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) meraih potensi pelaburan bernilai RM450 juta dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan jentera daripada misi perdagangan dan pelaburannya ke Belanda baru-baru ini.

MITI berkata pelaburan berpotensi itu dijangka meningkatkan asas pembuatan teknologi tinggi Malaysia, mencipta pekerjaan mahir, dan meningkatkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi semikonduktor, tenaga boleh baharu dan penggunaan Industri 4.0.

"Dengan menyelaraskan bersama rakan strategik kita dari Belanda dan menarik pelaburan berpotensi bernilai RM450 juta, kita mempercepatkan usaha kita di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan mendekatkan lagi kepada sasaran RM500 bilion pelaburan semikonduktor dan E&E bernilai tinggi menjelang 2030," kata menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

Semasa misi tersebut, Tengku Zafrul juga bertemu dengan Brabant Regional Development Cooperation, East Netherlands Development Agency dan Brainport Industries yang merupakan pemacu utama agenda pembangunan semikonduktor di Belanda.

Pertemuan itu bertujuan untuk meningkatkan perkongsian industri dan daya tahan rantaian bekalan bagi mewujudkan peluang yang saling menguntungkan dalam sektor teknologi bernilai tinggi.

Semasa sesi tersebut, Tengku Zafrul mengetengahkan Malaysia sebagai hab utama di Asia Tenggara untuk rantaian bekalan syarikat Eropah dalam semikonduktor, elektronik, kejuruteraan kejituan, automasi dan sektor berkaitan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MITI berkata lawatan ke Belanda itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) bagi Industri Semikonduktor oleh Tengku Zafrul dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Belanda, Vincent Karremans di The Hague pada 5 Sept 2025.

Perjanjian itu bakal memperkukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

"MoC itu juga menyokong objektif kita untuk meletakkan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global," katanya.  

Menurutnya, misi itu mencerminkan strategi menyeluruh Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti, memperdalam perkongsian ekonomi, dan menjamin daya saing jangka panjang dalam rantaian bekalan teknologi global.

Pada 2024, Belanda merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia di Kesatuan Eropah (EU) dan rakan dagang kedua terbesar negara dalam EU, dengan jumlah perdagangan mencecah RM41.26 bilion.

Momentum kukuh ini berterusan pada 2025, dengan perdagangan dua hala dari tempoh Januari hingga Julai meningkat 15.9 peratus kepada RM25.76 bilion (US$5.92 bilion).

Belanda juga merupakan pelabur keempat terbesar di Malaysia, dengan 314 projek pembuatan bernilai RM103.8 bilion (US$25 bilion) telah dilaksanakan setakat Jun 2025, mencipta 55,053 peluang pekerjaan di negara ini.

-- BERNAMA