Niaga Hadapan MSM Didagangkan Rendah Minggu Depan Susulan Lambakan Bekalan, Permintaan Lemah
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan dengan kecenderungan menurun di tengah-tengah lambakan bekalan dan permintaan eksport yang lembap, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga dijangka kekal menurun, dengan sokongan serta-merta pada paras RM4,150 setan dan rintangan pada RM4,300 setan.
Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata pasaran berkemungkinan kekal tidak menentu, dengan harga turun naik antara RM3,800 hingga RM3,950 setan.
Beliau berkata, inventori MSM yang tinggi sehingga mencecah 3.52 juta tan pada Oktober 2026, terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Bagaimanapun, jajaran harga yang lebih rendah boleh memberi ruang bagi mengurangkan lambakan dalam paras inventori, tambah Teh.
“Minat belian dijangka datang terutamanya dari China dan Timur Tengah, dengan permintaan tambahan daripada India, Kesatuan Eropah serta Amerika Syarikat,” katanya kepada Bernama.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak November 2026 berada pada RM4,180 setan, Disember 2026 turun RM286 kepada RM4,040 setan dan Januari 2027 susut RM321 kepada RM4,141 setan.
Februari 2027 pula merosot RM348 kepada RM4,217 setan, Mac 2027 berkurangan RM377 kepada RM4,281 setan, April 2027 jatuh RM395 kepada RM4,333 setan dan Mei 2026 berjumlah RM4,363 setan.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 599,400 lot berbanding 595,534 lot yang disaksikan semasa minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 338,348 kontrak daripada 454,619 kontrak.
Harga MSM fizikal untuk November Selatan jatuh sebanyak RM120 kepada RM4,080 setan.
-- BERNAMA