Pembida BPlant Semua GLC Atau Syarikat Bumiputera, Penilaian Berdasarkan Proses Ketat - LTAT

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengesahkan semua pembida bagi  Boustead Plantations Bhd (BPlant) adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat Bumiputera, selaras dengan garis panduan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).  

LTAT menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan transaksi tersebut dan penilaian terhadap bidaan yang dikemukakan telah dilaksanakan berdasarkan proses yang ketat bagi melindungi tadbir urus dan kredibiliti LTAT, dengan mengambil kira kriteria yang telah ditetapkan.

Menurutnya, status pemerbadanan pembida disahkan oleh penasihat pihak ketiga yang bebas dan hanya calon yang memenuhi syarat ini dipelawa untuk membida.

Ad Banner

“Kepastian pelaksanaan merangkumi keupayaan pembiayaan yang terbukti, manakala kesesuaian strategik dinilai berdasarkan keupayaan dan komitmen setiap pembida, bukan semata-mata berdasarkan saiz,” maklum LTAT sambil menambah  kesinambungan komitmen sedia ada terhadap komuniti Angkatan Tentera turut menjadi sebahagian daripada pertimbangan.

LTAT menyatakan ia hanya akan membuat pengumuman dan pendedahan yang sewajarnya pada masa yang bersesuaian, mengikut keperluan memandangkan transaksi ini masih tertakluk kepada proses yang sedang berjalan dan tiada perjanjian muktamad yang dimeterai.

“Aktiviti pelaburan utama LTAT seperti ini dilaksanakan melalui proses bidaan yang kompetitif,  berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik serta berpandukan kriteria penilaian yang telah ditetapkan lebih awal. 

Ad Banner
Ad Banner

“Kriteria tersebut merangkumi status pemerbadanan, keupayaan menyempurnakan urus niaga, kesesuaian strategik serta komitmen jangka panjang terhadap pihak berkepentingan, khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan pencarum LTAT,” maklumnya.

Pada Selasa, dilaporkan bahawa LTAT telah memilih Achi Jaya Plantations Sdn Bhd untuk mengambil alih BPlant pada anggaran harga RM4.3 bilion.

Memetik sumber, laporan itu menyatakan bahawa keputusan tersebut telah dibuat, walaupun perincian mengenai struktur pengambilalihan, kepentingan ekuiti yang terlibat, serta terma pembayaran masih belum didedahkan kepada umum.

Menurut laporan tersebut, difahamkan bahawa Achi Jaya berjaya mengatasi SD Guthrie Bhd dan Tradewinds Plantation Bhd, syarikat yang mempunyai operasi perladangan pada skala yang lebih besar, dalam pengambilalihan itu.

-- BERNAMA