Lesen Sampan Khas Penting Untuk Nelayan Akses Kemudahan Kerajaan
Oleh Noornasrin Salsabila Othman
KOTA BHARU, 20 Nov (Bernama) -- Pemilikan Lesen Sampan Khas bukan sekadar pengiktirafan kepada nelayan kecil, malah menjadi antara keperluan penting bagi membolehkan golongan itu menikmati pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi minyak dan perlindungan insurans.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok Mohd Saripundin Ishak berkata pemilikan lesen berkenaan memberi manfaat kepada nelayan yang memenuhi syarat, khususnya dalam membantu mengurangkan beban kos operasi serta menyediakan perlindungan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Beliau berkata langkah kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi meningkatkan jumlah pemegang Lesen Sampan Khas daripada 17,000 kepada 20,000 menerusi Belanjawan 2027 merupakan perkembangan positif dalam membantu lebih ramai nelayan kecil mendapatkan pengiktirafan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berharap proses permohonan dan kelulusan lesen itu dapat dipermudah bagi memastikan nelayan yang benar-benar layak tidak tercicir daripada menikmati kemudahan disediakan kerajaan.
“Pemilikan lesen ini penting kerana ia membolehkan nelayan yang memenuhi syarat mendapatkan kemudahan seperti subsidi minyak dan perlindungan insurans.
“Kita berharap peluasan kuota ini dapat membantu lebih ramai nelayan kecil, selain proses permohonan dipercepatkan supaya mereka tidak perlu menunggu terlalu lama,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohd Saripundin berkata kira-kira 200 pemilik bot di Bachok masih dalam proses permohonan, khususnya di sekitar Pantai Senak dan Sungai Gali, manakala hampir 400 permohonan direkodkan di seluruh Kelantan.
Beliau berkata terdapat permohonan yang mengambil masa sehingga dua tahun untuk diselesaikan, menyebabkan sebahagian nelayan terpaksa menggunakan surat pengesahan pemilikan bot sebagai dokumen sementara.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah PNK Kota Bharu Mohd Jais Jusoh berkata pengekalan harga diesel bersubsidi pada RM1.65 seliter amat penting bagi membantu nelayan mengawal kos operasi, memandangkan bahan api merupakan antara komponen utama perbelanjaan setiap kali turun ke laut.
Beliau yang juga seorang nelayan berkata bantuan berkenaan perlu diteruskan berikutan pendapatan golongan itu bergantung kepada hasil tangkapan harian yang tidak menentu akibat keadaan cuaca dan perubahan musim.
Mohd Jais berkata pemberian subsidi diesel juga diharap dapat diperluas kepada nelayan kategori C2 yang memerlukan penggunaan bahan api lebih tinggi, iaitu sehingga 17,000 liter berbanding kira-kira 2,000 hingga 3,000 liter bagi bot kecil.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Negeri Kelantan (Peneka) Mohamed Shaam Abd Kadir berkata inisiatif sokongan akuakultur bernilai RM40 juta yang diumumkan kerajaan berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada persatuan nelayan untuk meneroka sumber pendapatan alternatif.
Beliau berkata sektor akuakultur perlu diperkukuh bagi mengurangkan kebergantungan nelayan terhadap hasil tangkapan laut yang tidak menentu, sekali gus meningkatkan sosioekonomi komuniti berkenaan.
“Peneka negeri sebelum ini memulakan Projek Akuakultur Ternakan Udang Putih pada Julai lepas dengan melibatkan 250,000 ekor udang bagi pusingan pertama.
“Kemudahan geran melalui Agrobank itu dilihat dapat membantu persatuan nelayan memperluas projek sedia ada serta meningkatkan pengeluaran ternakan udang menggunakan kaedah akuakultur,” katanya.
Mohamed Shaam berkata peningkatan pengeluaran akuakultur tempatan juga berpotensi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan udang import sekiranya dilaksanakan secara berterusan.
Bernama sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi meningkatkan jumlah pemegang Lesen Sampan Khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan.
Kerajaan turut mengekalkan harga diesel bersubsidi pada RM1.65 seliter bagi nelayan yang layak serta menyediakan RM178 juta untuk insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup (ESH) sehingga RM300 sebulan.
-- BERNAMA