Belanjawan 2027 Bagi Lapan Kementerian Lulus Minggu Ketujuh Dewan Rakyat

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Minggu ketujuh persidangan Dewan Rakyat menyaksikan peruntukan Belanjawan 2027 bagi lapan lagi kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa, selain tumpuan turut terarah kepada perkembangan pembiayaan kesihatan negara dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ia melibatkan Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Ad Banner

Tiga lagi kementerian yang selesai menggulung perbahasan dan mendapat kelulusan peruntukan masing-masing ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Persidangan yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin lepas turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Padang Besar Allahyarham Datuk Zahidi Zainul Abidin yang meninggal dunia pada 13 Nov lepas.

Pada Selasa, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang diperuntukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikendalikan oleh menteri-menteri berkaitan susulan keberadaan beliau di Manila, Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam perkembangan dasar kesihatan, kerajaan menyasarkan penggubalan Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) menjelang 2029 bagi memperkukuh mekanisme pembiayaan sektor kesihatan dan memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan sejagat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu melibatkan pembaharuan struktur pembiayaan dengan mengintegrasikan pendekatan berasaskan hasil cukai dan insurans sosial, selain rancangan KKM menyiapkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan pada 2027, yang antara lain bakal merangkumi cadangan kawal selia terhadap pengiklanan serta promosi makanan tidak sihat.

Dalam menghadapi ancaman banjir musim tengkujuh pula, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan lebih 100,000 anggota daripada agensi tindak balas dan teknikal telah digerakkan sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi MTL tahun ini.

“Operasi kesiapsiagaan yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu turut melibatkan penyediaan hampir 2,500 bot, lebih 2,000 kenderaan pacuan empat roda, lebih 1,100 lori, 28 pesawat dan lebih 35,000 jaket keselamatan,” katanya.

Isu penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak turut mendapat perhatian apabila kerajaan menjelaskan bahawa belum ada tarikh ditetapkan untuk melaksanakan cadangan meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua negeri itu kepada satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata cadangan berkenaan masih memerlukan penelitian dari sudut perundangan, teknikal dan persempadanan pilihan raya, meskipun telah mendapat persetujuan secara prinsip dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 Sept lepas.

Sementara itu, ancaman penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut dibangkitkan apabila Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mendedahkan 13,883 kandungan pemalsuan imej atau deepfake diturunkan oleh penyedia perkhidmatan atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara 1 Jan 2024 hingga 31 Okt lepas.

Dalam tempoh 1 Jan 2025 hingga 31 Okt lepas, sebanyak 61 kes berkaitan penyalahgunaan AI disiasat MCMC mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan 10 daripadanya dibawa ke mahkamah.

Selain perbahasan Belanjawan 2027, dua RUU berkaitan percukaian turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama, iaitu RUU Kewangan 2026 yang mencadangkan pindaan terhadap lima akta dan RUU Langkah-Langkah Bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2026 yang melibatkan tujuh akta.

Persidangan minggu ini turut dihangatkan dengan kontroversi pantun Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang mencetuskan bantahan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), sebelum beliau menarik balik perkataan yang dipertikaikan dan kemudian mengemukakan surat permohonan maaf kepada Perdana Menteri.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 di peringkat jawatankuasa dijadualkan diteruskan hingga 26 Nov, dengan lapan lagi kementerian dijadualkan menyelesaikan sesi penggulungan masing-masing minggu depan.

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang berlangsung selama 37 hari dijadualkan berakhir pada 8 Dis.

-- BERNAMA