ADE Perluas Operasi Di Indonesia Menerusi Kerjasama Penyenggaraan Transnusa
JAKARTA, 19 Nov (Bernama) -- Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat milik penuh Capital A Bhd yang berpangkalan di Malaysia, memperluas kehadirannya di Indonesia selepas unit operasinya di negara itu dipilih untuk menyediakan perkhidmatan penyenggaraan talian bagi pesawat Airbus A320 kendalian TransNusa yang beroperasi dari Jakarta dan Bali.
Dalam kenyataan pada Khamis, ADE memaklumkan perkhidmatan itu akan dilaksanakan oleh Asia Digital Engineering Indonesia (ADEI) di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta dan Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai di Denpasar, Bali.
“Perkhidmatan itu telah melalui audit oleh Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Indonesia (DGCA) dan TransNusa bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia dan keselamatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ADE Mahesh Kumar berkata syarikat itu berbangga kerana diberikan kepercayaan untuk menyokong operasi penyenggaraan talian TransNusa di dua pintu masuk penerbangan utama Indonesia.
“Dalam industri penerbangan, pemilihan rakan penyenggaraan bukan sekadar keputusan komersial, sebaliknya berasaskan kepercayaan, keselamatan, kebolehpercayaan dan komitmen bersama terhadap kecemerlangan operasi.
“Dengan kepakaran mendalam dalam platform A320 serta peluasan operasi di Indonesia menerusi ADEI, kami komited sepenuhnya untuk memastikan TransNusa menikmati tempoh pusing ganti pesawat yang lancar dan penggunaan pesawat secara optimum ketika syarikat penerbangan itu terus mengembangkan operasinya,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut ADE, kerjasama yang dimeterai menerusi satu majlis di Jakarta pada Khamis itu merupakan pencapaian penting dalam usaha memperluas portfolio pelanggan komersialnya di Indonesia serta mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) ASEAN.
Syarikat itu memaklumkan kerjasama berkenaan turut mencerminkan peluasan kehadiran komersialnya di luar lingkungan syarikat sekutu kumpulan, menerusi penyediaan penyelesaian penyenggaraan dan kejuruteraan yang disesuaikan mengikut keperluan syarikat penerbangan di seluruh ASEAN, selain menyumbang kepada pembangunan sektor penerbangan awam Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa Datuk Bernard Francis pula berkata pengekalan prestasi penerbangan mengikut jadual amat penting ketika syarikat penerbangan itu memperluas operasinya di Jakarta dan Denpasar, sekali gus menjadikan kepakaran ADE dalam platform Airbus A320 sebagai faktor penting dalam kerjasama berkenaan.
“Penyerahan tanggungjawab penyenggaraan talian kepada ADE memberikan kami keupayaan teknikal dan tempoh pusing ganti yang pantas bagi memastikan pesawat kami beroperasi mengikut jadual, sementara pasukan kami memberikan tumpuan kepada peluasan rangkaian,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu.
Ditubuhkan pada September 2020, ADE yang beribu pejabat di Kuala Lumpur kini mengendalikan 16 barisan MRO serta menyediakan perkhidmatan penyenggaraan dan kejuruteraan pesawat kepada syarikat penerbangan di seluruh Asia, berbekalkan pengalaman kejuruteraan lebih 20 tahun.
-- BERNAMA