Pembinaan PDF Lynas Capai 79 Peratus Setakat 31 Okt - Mohammad Yusof
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) sisa radioaktif syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd mencapai 79 peratus setakat 31 Okt lepas, dengan 1.46 juta tan metrik sisa penulenan air larut resap (WLP) telah dipindahkan ke kemudahan itu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata pemindahan sisa daripada kemudahan penyimpanan sementara (RSF) ke PDF tersebut dipantau secara berkala Jabatan Tenaga Atom (JTA) bagi menjamin keselamatan sinaran kepada orang awam dan alam sekitar.
“JTA telah menjalankan pemantauan dan persampelan alam sekitar. Data pemantauan ini juga boleh diakses oleh orang awam secara masa nyata melalui laman MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dan https://erms.atom.gov.my,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi MOSTI di Dewan Rakyat hari ini.
Mohammad Yusof berkata pelanjutan tempoh lesen Lynas selama 10 tahun dibuat berdasarkan penilaian teknikal, perundangan dan pematuhan menyeluruh oleh JTA selain tertakluk kepada syarat lesen yang lebih ketat di bawah Akta Tenaga Atom 1984 [Akta 304].
Beliau berkata dalam tempoh lima tahun pertama, Lynas perlu mengubah suai proses di lojinya menggunakan kaedah suhu rendah bagi menurunkan kepekatan keaktifan sisa WLP ke tahap di bawah had kawalan Akta 304.
“Sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat yang dikenakan, tindakan penggantungan atau pembatalan lesen boleh dilaksanakan oleh JTA pada bila-bila masa di bawah peruntukan Akta Tenaga Atom 1984 [Akta 304],” katanya.
Selain itu, Mohammad Yusof berkata sebarang aktiviti pemprosesan unsur nadir bumi (REE) di mana-mana yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi dengan kepekatan keaktifan melebihi satu becquerel per gram (Bq/g) tertakluk kepada pelesenan dan kawal selia JTA tanpa mengira pelabur atau sumber teknologi.
Mengenai kesiapsiagaan negara dalam bidang tenaga dan teknologi nuklear termasuk aspek Reaktor Modular Kecil (SMR), beliau berkata MOSTI sedang merangka Pelan Pembangunan Bakat Nuklear Negara bagi memperkukuh pembangunan modal insan selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan masa hadapan.
Mohammad Yusof berkata walaupun penggunaan SMR tidak dinyatakan secara khusus dalam Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, kementerian itu tetap menyokong pembangunan bakat dalam bidang berkenaan melalui pelbagai inisiatif, termasuk penyediaan pelan pembangunan bakat tersebut.
“MOSTI melalui Agensi Nuklear Malaysia turut menyempurnakan kajian awal berkaitan Reaktor Pelbagai Guna (MPR) dan kini sedang merangka pelan tindakan sebagai asas perancangan strategik bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Beliau berkata pelan tindakan itu dirangka di bawah Teras Strategik Keempat DTNN sebagai panduan perancangan jangka sederhana dan panjang sebelum pembangunan kemudahan berkenaan direalisasikan.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM1,292,392,000 yang diperuntukkan kepada MOSTI dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 19 Ahli Parlimen.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA