Kerajaan Negeri Hargai Belanjawan 2027 Kerajaan Pusat Berkaitan Kedah

ALOR SETAR, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kedah merakamkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang meluluskan sejumlah peruntukan untuk negeri itu dalam pengumuman Belanjawan 2027 baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata antara yang diluluskan adalah bagi menaik taraf Medan Selera Keluncur, di Taman Rekreasi Laut Kuala Kedah di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Beliau berkata peruntukan lain adalah untuk kemudahan prasarana tapak warisan yang berpotensi diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Lembah Bujang dan pelaksanaan Projek Tanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Ad Banner

"Ini disokong oleh kerja menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah yang sedang berjalan mengikut jadual, dan projek pemulihan Empangan Pedu yang dijangka siap pada penghujung 2027," katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata cabaran ekonomi global akibat ketegangan politik dan perdagangan akan terus dihadapi pada 2027 dan perubahan struktur ekonomi dunia menuntut setiap negara dan wilayah memperkukuh daya saing masing-masing. 

Beliau berkata struktur ekonomi Kedah yang tertumpu kepada sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan, khususnya industri berorientasikan eksport, menyebabkan ekonomi negeri turut terdedah kepada perubahan pasaran global. 

Ad Banner
Ad Banner

"Dalam hal ini, kerajaan negeri akan terus membina ekonomi yang berdaya tahan, bukan sahaja ketika ekonomi global berkembang baik, malah ketika menghadapi kejutan ekonomi dan perubahan struktur dunia," katanya.

-- BERNAMA