BMI Jangka Bank Negara Kekalkan OPR 2.75 Peratus Sepanjang 2027
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan bermesyuarat esok, dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi sepanjang 2027 berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan unjuran inflasi yang terkawal, menurut BMI.
Unit di bawah Fitch Solutions itu membuat unjuran berkenaan berdasarkan jangkaan inflasi keseluruhan kekal dalam lingkungan sasaran BNM dalam julat 1.5 peratus hingga 2.5 peratus dalam masa terdekat.
“Prospek perbelanjaan pengguna juga secara keseluruhannya kekal positif, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan dengan kadar pengangguran pada 3.1 peratus manakala inflasi kekal di bawah had maksimum sasaran BNM iaitu pada 2.5 peratus.
“Meskipun peningkatan hasil petroleum dan dividen Petronas akan menyokong kedudukan fiskal Malaysia, isi rumah akan terus berdepan tekanan berikutan dasar fiskal lebih ketat serta peningkatan kos sara hidup,” maklum BMI dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun menurut BMI, kenaikan harga makanan dan bahan api kekal menjadi risiko utama berikutan makanan dan minuman bukan alkohol merangkumi 25.5 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah.
Pada masa sama, BMI mengunjurkan pertumbuhan perbelanjaan sebenar isi rumah sebanyak 4.08 peratus tahun ke tahun pada 2026 dan 4.07 peratus pada 2027 yang menjadikan perbelanjaan masing-masing 31.2 peratus dan 36.6 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik.
Paras hutang isi rumah yang tinggi serta kos khidmat hutang pula dijangka terus mengekang pertumbuhan perbelanjaan.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan BNM mengekalkan kadar OPR itu pada paras 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2027,” maklum BMI.
-- BERNAMA