Monsun Timur Laut: RM3.5 Juta Untuk Peralatan, Bekalan Banjir JKM Kelantan
GUA MUSANG, 30 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan memperuntukkan kira-kira RM3.5 juta bagi menyediakan peralatan dan keperluan asas menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Pengarah JKM Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata bekalan bantuan telah disalurkan ke stor daerah, 22 depoh mini kontena dan 162 pangkalan hadapan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mangsa banjir apabila diperlukan.
Beliau berkata peralatan dan barangan keperluan asas seperti pinggan, mangkuk, selimut, tikar, tuala serta barangan kebersihan diri telah dihantar ke semua pusat pemindahan sementara (PPS) manakala penghantaran makanan termasuk beras, gula, biskut dan air mineral masih diteruskan menggunakan peruntukan kerajaan negeri.
“Depoh mini berbentuk kontena dan 162 pangkalan hadapan ini telah dipenuhkan dengan barangan bantuan serta peralatan. Kita juga telah melantik 127 kontraktor untuk membekal barang bantuan sekiranya diperlukan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pihaknya turut mengenal pasti 451 PPS di seluruh negeri terdiri daripada 337 sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) serta dewan, balai raya, masjid, surau dan premis lain bagi penyediaan peralatan dan keperluan asas.
Che Samsuzuki berkata JKM Kelantan memiliki lebih 400 petugas yang boleh digerakkan ke PPS sekiranya berlaku pembukaan pusat itu secara serentak, selain 127 sukarelawan aktif yang membantu operasi pengurusan bencana.
“Semua petugas berada dalam mod siap siaga dan telah diberikan latihan serta taklimat termasuk menerusi bengkel bersama agensi berkaitan dan latihan simulasi pengurusan PPS,” katanya sambil menambah latihan kesiapsiagaan itu dilaksanakan bermula di Jeli pada 24 Sept lepas dan berakhir di Tumpat pada 26 Okt.
Beliau berkata JKM Kelantan turut menyediakan sembilan pegawai Psychological Support Team (PST) dan 13 pegawai kaunselor bagi memberikan sokongan psikososial kepada mangsa banjir.
Che Samsuzuki berkata JKM juga bertanggungjawab mengagihkan pakaian dan keperluan asas, mendaftarkan mangsa menerusi sistem MyIBJKM iaitu aplikasi bagi memudahkan mangsa bencana menguruskan diri sebelum, semasa dan selepas sesuatu musibah serta melaksanakan bantuan pemulihan selepas bencana.
Beliau menggalakkan penduduk di kawasan berisiko banjir mendaftar lebih awal menerusi aplikasi MyIBJKM bagi mempercepat urusan pendaftaran apabila tiba di PPS.
“Pendaftaran prabencana membolehkan maklumat ketua isi rumah dan ahli isi rumah direkodkan lebih awal, sekali gus mempercepat urusan apabila mangsa tiba di PPS. Setakat ini, sebanyak 69,101 keluarga telah mendaftar menerusi aplikasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata keluarga yang telah membuat pendaftaran prabencana hanya perlu mengimbas kod respons pantas (QR) yang disediakan setibanya di PPS.
-- BERNAMA