JF Tech Cadang Terbitan Bonus Sehingga 388.01 Juta Waran Percuma

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- JF Technology Bhd (JF Tech) mencadangkan terbitan bonus sehingga 388.01 juta waran percuma pada nisbah dua waran bagi setiap lima saham sedia ada yang dipegang oleh pemegang saham yang layak.

Dalam satu kenyataan, syarikat senaraian di Pasaran Utama itu yang mengeluarkan penyelesaian sentuhan ujian dan antara muka berprestasi tinggi untuk pengeluar litar bersepadu (IC) global, memaklumkan waran berkenaan akan diterbitkan secara percuma dan mempunyai tempoh lima tahun.

Harga untuk melaksanakan waran akan ditentukan oleh lembaga pengarah pada tarikh kemudian, selepas semua kelulusan berkaitan diperoleh, pada harga diskaun atau premium tidak melebihi 20 peratus berbanding harga purata wajaran volum saham syarikat bagi tempoh lima hari (5D-VWAMP) sebelum tarikh penetapan harga.

Ad Banner
Ad Banner

Lembaga pengarah akan mengambil kira pergerakan harga saham pada masa lalu dan keadaan pasaran semasa dalam menentukan harga pelaksanaan waran.

Sebagai ilustrasi, harga untuk pelaksanaan waran diandaikan pada RM0.80 setiap waran, yang mewakili premium kira-kira 3.5 peratus berbanding 5D-VWAMP saham JF Tech sebanyak RM0.7728, berdasarkan data sehingga tarikh terkini yang boleh dilaksanakan.

“Berdasarkan andaian ini dan sekiranya semua waran dilaksanakan sepenuhnya, kumpulan berupaya meraih hasil kasar berjumlah kira-kira RM308.4 juta hingga RM310.4 juta apabila waran dilaksanakan bagi memenuhi keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sekiranya tidak berlaku sebarang keadaan luar jangka dan tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd serta pemegang saham JF Tech dalam mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan, cadangan terbitan bonus waran itu dijangka selesai pada separuh pertama 2027,” tambah syarikat itu.

Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Foong Wei Kuong berkata cadangan terbitan bonus waran itu akan memberi pilihan kepada pemegang saham untuk meningkatkan pegangan ekuiti mereka dalam kumpulan dengan melaksanakan waran pada harga yang ditetapkan sepanjang tempoh lima tahun, sekali gus berpotensi meraih manfaat daripada pertumbuhan kumpulan pada masa depan.

“Dari perspektif kumpulan, pelaksanaan waran itu juga akan mengukuhkan asas modal dan dana pemegang saham serta menyediakan modal kerja tambahan kepada kumpulan apabila waran dilaksanakan, tanpa menanggung kos faedah yang berkaitan dengan pinjaman bank,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Andy Goh Joo Hwa berkata rangkaian penyelesaian komprehensif kumpulan yang ditawarkan di bawah satu bumbung membolehkannya menyokong pelanggan pada pelbagai peringkat proses pengujian, sekali gus membantu mempercepatkan tempoh membawa produk ke pasaran.

“Ini juga membolehkan kumpulan meningkatkan bahagian perniagaannya dengan asas sedia ada yang mempunyai kira-kira 280 pelanggan aktif, di samping mendapatkan pelanggan baharu.

“Lebih penting lagi, langkah ini membolehkan kami meneroka segmen industri semikonduktor yang berkembang pesat, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi, pembungkusan termaju, automotif dan elektrifikasi serta robotik,” tambahnya.

-- BERNAMA