Peruntukan Untuk Semua Negeri Meningkat, Sabah Dan Sarawak Tertinggi - Amir Hamzah
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan sentiasa memenuhi keutamaan projek yang dicadangkan kerajaan negeri termasuk meningkatkan peruntukan kepada kesemua negeri, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata sejak 2023, beberapa pemberian utama telah ditambah baik dengan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) dinaikkan kepada RM400 juta setahun.
Pemberian Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) pula dinaikkan kepada RM5.6 bilion pada 2026 daripada RM5.2 bilion pada 2023, katanya.
“Pemberian Ecological Fiscal Transfer (EFT) meningkat kepada RM270 juta dalam Belanjawan 2027 daripada RM150 juta pada 2023. Penambahbaikan ini menyokong perkhidmatan, infrastruktur dan pemeliharaan alam di negeri-negeri,” katanya.
Amir Hamzah berkata Kerajaan MADANI turut meningkatkan pemberian khas interim kepada Sabah daripada RM26.7 juta pada 2021 kepada RM1.5 bilion, iaitu lebih 50 kali ganda, manakala bagi Sarawak pula, pemberian khas interim meningkat daripada RM16 juta pada 2022 kepada RM1.5 bilion, iaitu lebih 90 kali ganda.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata peruntukan keseluruhan Sabah dan Sarawak adalah tertinggi dan meningkat masing-masing kepada RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion, dan pecahan RM18.7 bilion bagi Sabah merangkumi RM8.9 bilion perbelanjaan mengurus, RM7 bilion pembangunan dan RM2.8 bilion pemberian kepada kerajaan negeri.
Katanya, Kerajaan MADANI menghormati prinsip pemberian khas selaras dengan Perlembagaan dan rundingan sedang diteruskan bagi memuktamadkan kaedah perkiraan yang adil dan mampan.
“Ini komitmen kerajaan untuk memacu pembangunan Sabah dan Sarawak sementara rundingan sedang dilaksanakan,” katanya.
Perbelanjaan Persekutuan meningkat daripada anggaran disemak RM444.1 bilion pada 2026 kepada RM459.8 bilion pada 2027 dan daripada jumlah tersebut, RM376.8 bilion ialah perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
-- BERNAMA