Pasaran Getah Ditutup Rendah
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih rendah hari ini, menjejaki kerugian dalam niaga hadapan getah serantau dan penurunan harga minyak mentah, menurut seorang peniaga.
Sentimen dilemahkan lagi oleh keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah dan peningkatan bermusim dalam bekalan getah dari Thailand.
“Harga minyak jatuh selepas adanya harapan untuk rundingan damai telah meredakan kebimbangan mengenai gangguan bekalan di Asia Barat, walaupun konflik serantau semakin meruncing.
“Niaga hadapan getah Jepun merosot apabila harga minyak yang lebih rendah telah melemahkan sokongan kos, manakala peningkatan bermusim dalam bekalan bahan mentah dari Thailand menambah tekanan ke bawah lagi,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, peniaga itu berkata harapan untuk rundingan damai di Asia Barat, prospek positif bagi pertumbuhan ekonomi AS dan ramalan Bank Dunia mengenai harga komoditi global yang lebih tinggi membantu mengehadkan kerugian selanjutnya.
Pada 3 petang, harga SMR 20 turun 31.50 sen kepada 998.50 sen sekilogram, manakala lateks getah pukal susut 10 sen kepada 694.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA