Big Caring Sasar Raih RM637.8 Juta Daripada IPO Di Pasaran Utama

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Rangkaian farmasi runcit Big Caring Group Bhd (BCG) menyasarkan untuk mengumpul RM637.8 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

IPO itu ditawarkan pada harga RM1.08 sesaham manakala penyenaraiannya dijadualkan pada 19 Nov, 2026.

BCG memaklumkan sebanyak 4.7 peratus daripada hasil yang diperoleh akan diperuntukkan bagi membangunkan sebuah pusat pengedaran baharu dalam tempoh 36 bulan dari tarikh penyenaraiannya.

Ad Banner
Ad Banner

Pengembangan itu untuk meningkatkan kapasiti memandangkan pusat pengedarannya di Bukit Raja mencatatkan kadar penggunaan sebanyak 80.2 peratus setakat 30 Sept, 2026.

“Sebanyak 89.5 peratus lagi akan diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman bank dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penyenaraian manakala baki 5.8 peratus akan digunakan untuk membiayai fi dan perbelanjaan penyenaraian,” jelasnya dalam satu kenyataan selepas pelancaran prospektusnya hari ini.

Sementara itu, menurut BCG, berdasarkan jumlah keseluruhan sebanyak 7.4 bilion saham biasa terbitan selepas pembesaran modal dan harga IPO berkenaan, permodalan pasaran BCG dijangka mencecah kira-kira RM8 bilion sebaik sahaja disenaraikan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“IPO BCG melibatkan tawaran sehingga 1.9 bilion saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 590.5 juta saham biasa baharu.

"Tawaran untuk jualan pula sebanyak 1.3 bilion saham biasa sedia ada, masing-masing mewakili 8.0 peratus dan 17.5 peratus daripada jumlah saham biasa terbitan yang diperbesarkan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BCG Lee Meng Chuan berkata syarikat itu telah berkembang menjadi peruncit farmasi terbesar di Malaysia dengan lebih 600 cawangan di seluruh negara hasil pengembangan organik dan pengambilalihan strategik.

“Dalam melangkah ke fasa seterusnya, kami akan terus memperkukuh keupayaan pengedaran, meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan lembaran imbangan dan menyediakan asas yang kukuh bagi fasa pertumbuhan seterusnya.

“Ketika kami terus memperluas rangkaian farmasi dan memperkukuh keupayaan integrasi vertikal, kami kekal beri tumpuan untuk memastikan masyarakat di seluruh Malaysia mendapat akses kepada penjagaan kesihatan selain memberi nilai jangka panjang yang mampan kepada pelanggan, pekerja dan pemegang saham,” katanya.

Permohonan bagi bahagian terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 5 Nov, 2026.

Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, penyelaras bersama, penaja jamin pengurusan bersama dan penaja jamin bersama bagi IPO berkenaan.

AmInvestment Bank Bhd turut bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyelaras global bersama, penyelaras bersama dan penaja jamin bersama manakala UBS Securities Malaysia Sdn Bhd dan UBS AG Cawangan Singapura bertindak sebagai penyelaras global bersama dan penyelaras bersama bagi IPO itu.

-- BERNAMA