SST, Kos Logistik Dan Pengangkutan Faktor Utama Perbezaan Harga Belian TBS Sabah, Semenanjung

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pengenaan Cukai Jualan Negeri (SST) serta kos logistik dan pengangkutan menjadi dua faktor utama perbezaan harga belian tandan buah segar (TBS) antara Sabah dan Semenanjung, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii. 

Beliau berkata kerajaan negeri Sabah mengenakan SST sebanyak 7.5 peratus ke atas harga minyak sawit mentah (MSM) manakala tiada cukai seumpamanya dikenakan di Semenanjung. 

Selain itu, katanya jarak pengangkutan dari ladang ke kilang di Sabah adalah lebih jauh berbanding di Semenanjung mengakibatkan kos logistik di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung.  

Ad Banner
Ad Banner

“Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sentiasa prihatin dan komited dalam menangani isu perbezaan harga TBS di Sabah berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Kerajaan komited menangani isu ini melalui pemantauan dan penguatkuasaan berterusan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai langkah kerajaan menangani ketidakseimbangan harga TBS di Sabah yang dibeli pada kadar lebih rendah berbanding Semenanjung walaupun Kadar Perahan Minyak (OER) Sabah berada kira-kira 22 hingga 25 peratus termasuk mekanisme pemantauan bagi memastikan pekebun kecil menerima harga yang lebih adil dan telus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Huang berkata antara inisiatif yang dilaksanakan merangkumi formula harga rujukan TBS MPOB, penguatkuasaan memaparkan harga belian harian dan sistem timbangan terkawal.

“MPOB mengeluarkan penanda aras harga harian berasaskan formula rasmi (pada kadar perahan 1 peratus OER di pintu kilang) menerusi aplikasi mudah alih dan portal rasmi MPOB sebagai panduan dan pilihan rujukan industri bagi menyelaraskan penetapan harga yang adil mengikut kualiti dan kadar OER sebenar,” katanya.

Katanya di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005, MPOB mewajibkan peniaga buah dan pengilang memaparkan harga belian harian berasaskan satu peratus OER secara jelas di premis masing-masing bagi meningkatkan ketelusan dan mengelakkan sebarang manipulasi harga pada peringkat pekebun kecil. 

Beliau berkata MPOB turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan semua alat timbang di kilang dan pusat belian disahkan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972. 

Menjawab soalan tambahan Andi Muhammad Suryady mengenai kekurangan tenaga buruh dalam industri sawit yang menjejaskan kos dan tempoh pelaksanaan penanaman semula, Huang berkata kekurangan tenaga buruh adalah ketara dalam aktiviti penuaian, pemungutan TBS serta penjagaan dan penyelenggaraan ladang.

“Cabaran utama penanaman semula ialah kekangan kewangan, khususnya dalam kalangan pekebun kecil yang perlu menanggung kos penanaman semula dianggarkan sebanyak RM14,000 hingga RM16,000 sehektar.

“Selain kehilangan pendapatan sepanjang tempoh tanaman belum mengeluarkan hasil, kekangan ini boleh mendorong penangguhan aktiviti penanaman semula dengan mengekalkan pokok sawit yang kurang produktif, sekali gus menjejaskan produktiviti industri dalam jangka panjang,” katanya.

Bagi menangani cabaran tersebut, Huang berkata kerajaan menerusi Belanjawan 2027 menyediakan pembiayaan hibrid berjumlah RM100 juta yang disasarkan untuk membantu kira-kira 4,500 pekebun kecil.

Katanya kerajaan turut memperkenalkan Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) berjumlah RM200 juta bagi membiayai penanaman semula sawit di kawasan seluas sehingga 40.46 hektar, dengan penangguhan bayaran balik selama empat tahun.

“Kadar faedah empat peratus ditanggung pekebun kecil dan baki kadar faedah ditanggung oleh kerajaan. Inisiatif ini (PTSS) bertujuan meringankan beban kewangan pekebun kecil, mempercepat pelaksanaan penanaman semula dan memastikan kelestarian produktiviti industri sawit negara,” katanya. 

-- BERNAMA