Sektor Automotif, Pusat Data, Aeroangkasa Tawar Peluang Bernilai Tinggi Kepada Pengeluar Keluli - Sim

SUBANG JAYA, 29 Okt (Bernama) -- Industri besi dan keluli Malaysia berpeluang beralih kepada pengeluaran bernilai lebih tinggi dengan membekalkan produk kepada sektor automotif, pusat data dan aeroangkasa, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.

Beliau berkata industri tersebut sedang mengalami transformasi melangkaui tumpuan tradisionalnya terhadap sektor pembinaan dan infrastruktur, dengan sektor teknologi tinggi membuka pasaran baharu kepada pengeluar tempatan.

Katanya dalam sektor automotif, mekanisme insentif baharu (NCM) yang akan dilaksanakan tahun depan akan memerlukan pengeluar kereta yang ingin menikmati kadar duti eksais lebih rendah untuk meningkatkan tahap penyetempatan, membuka peluang kepada pengeluar keluli tempatan untuk membekalkan keluli gred automotif.

Ad Banner
Ad Banner

“Jika mereka mahu menikmati duti eksais yang lebih rendah, mereka perlu mempergiat penyetempatan, iaitu penyetempatan secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) ke-15 mengenai Status dan Prospek Industri di sini hari ini.

Beliau berkata mekanisme tersebut, yang akan diumumkan tidak lama lagi akan meliputi semua pengeluar kereta, termasuk jenama dari Jepun, Korea dan China.

Katanya pengeluar kereta perlu meningkatkan penggunaan sumber tempatan, termasuk menggantikan keluli import dengan bahan yang dihasilkan di dalam negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berharap langkah tersebut dapat membuka pasaran automotif kepada pengeluar keluli tempatan dan menekankan bahawa industri itu perlu melabur dalam penghasilan keluli gred automotif.

Sim berkata usaha menggantikan keluli import dalam kereta yang dikeluarkan di dalam negara masih belum berkembang berikutan persaingan harga dan pelaburan yang perlu memenuhi piawaian keselamatan yang tinggi.

Katanya kedudukan Malaysia sebagai hab pusat data utama di Asia menawarkan peluang kepada industri tersebut untuk membekalkan produk seperti rak pelayan, kabel dan rangkaian pendawaian.

Beliau berkata seorang pemain industri telah memaklumkan kepadanya bahawa syarikat tersebut sedang beralih kepada pembekalan rak pelayan untuk pusat data, menyifatkan perkembangan itu sebagai positif.

Dalam sektor aeroangkasa, katanya industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Malaysia memerlukan komponen yang membolehkan pengeluar keluli menceburi perniagaan dengan margin lebih tinggi, walaupun dalam jumlah pengeluaran yang rendah.

Beliau memberikan contoh sebuah syarikat Eropah yang menghasilkan keluli berteknologi tinggi untuk struktur pesawat yang menunjukkan langkah industri itu boleh beralih kepada aplikasi bernilai lebih tinggi.

Mengenai sokongan kerajaan, Sim berkata pengeluar keluli yang berhasrat melabur dalam pengeluaran yang lebih kompleks berpotensi menerima insentif tambahan.

“Beberapa pemain utama industri telah meraih manfaat daripada insentif kerajaan, termasuk status perintis dan elaun cukai pelaburan.

“Namun, jika mereka ingin membuat pelaburan lanjut untuk mencapai tahap kerumitan lebih tinggi, kerajaan akan membantu dengan menyediakan insentif tambahan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata matlamat kerajaan adalah membantu industri keluli domestik melaksanakan inovasi dan membangunkan produk yang lebih kompleks bagi memenuhi permintaan daripada pasaran yang berteraskan teknologi tinggi.

-- BERNAMA