Indeks Utama Bursa Malaysia Kekal Tinggi Pada Tengah Hari Seiring Prestasi Pasaran Serantau

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Momentum dagangan indeks penunjuk utama Bursa Malaysia kekal meningkat pada tengah hari ini, menjejaki prestasi pasaran serantau di tengah-tengah cabaran di peringkat luaran dan domestik.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.23 mata atau 0.08 peratus ke paras 1,615.10 daripada 1,613.87 pada akhir dagangan semalam.

Indeks berkenaan dibuka menokok 0.57 mata kepada 1,614.44 dan bergerak dalam julat 1,613.76 hingga 1,625.46 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Ad Banner
Ad Banner

Di pasaran meluas kaunter rugi mengatasi untung iaitu 525 berbanding 361 manakala 496 lain tidak berubah, sebanyak 1,495 tidak diniagakan manakala dagangan 161 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.78 bilion unit bernilai RM1.05 bilion.

Prestasi pasaran serantau menyaksikan Indeks Nikkei 225 Jepun menokok 0.55 peratus kepada 64,308.11, Indeks Hang Seng Hong Kong meraih 0.05 peratus kepada 23,106.71, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.24 peratus kepada 5,410.94 dan Indeks KOSPI Korea Selatan turun 1.69 peratus kepada 5,910.57.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank Bhd mengunjurkan FBM KLCI kekal dalam julat terhad di tengah-tengah situasi luaran dan domestik yang mencabar.

“Wall Street berkemungkinan kekal tidak menentu ketika Amerika Syarikat (AS) menyaksikan minggu yang sarat dengan pengumuman pendapatan korporat, pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dilihat  cenderung mengekalkan kadar faedah, pilihan raya penggal pertengahan AS pada 3 November ini selain isu ketegangan negara maju itu dengan Iran yang masih berlanjutan,” maklum bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank tidak berubah pada RM9.99, Public Bank meningkat empat sen kepada RM4.75, Tenaga Nasional menokok lapan sen kepada RM13.30, IHH Healthcare naik satu sen kepada RM7.84 namun CIMB susut 22 sen kepada RM6.89.

Kaunter paling aktif dibarisi Zetrix AI dan Nexgram yang masing-masing tidak berubah pada 8.5 sen dan 5.5 sen, Dataprep dan Ni Hsin turun setengah sen kepada empat sen dan 49.5 sen manakala CTOS Digital meningkat dua sen kepada 41 sen.

Fraser & Neave mendahului kaunter paling untung dengan melonjak 36 sen kepada RM20.26, Petronas Dagangan meningkat 18 sen kepada RM19.40, Bus Cap naik 14 sen kepada RM1.15, SD Guthrie meningkat 13 sen kepada RM5.88 dan Malayan Cement menokok 12 sen kepada RM5.21.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut RM2.68 kepada RM95.30, Malaysian Pacific Industries merosot 34 sen kepada RM41.80, United Plantations berkurangan 30 sen kepada RM29.02 manakala Sunway Construction susut 14 sen kepada RM7.56.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 6.24 mata kepada 12,073.51, Indeks FBM Top 100 naik 8.37 mata kepada 11,867.65, Indeks FBM Emas Syariah menambah 24.60 mata kepada 12,105.74, Indeks FBM Mid 70 naik 9.38 mata kepada 17,457.40 namun Indeks FBM ACE susut 22.78 mata kepada 5,459.14.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.18 mata kepada 178.85, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 37.87 mata kepada 18,541.37, Indeks Perladangan meningkat 40.80 mata kepada 8,687.63 manakala Indeks Tenaga naik 0.90 mata kepada 847.27.

-- BERNAMA