Pembukaan Semula Laluan Tebedu-Entikong Pacu Dagangan Rentas Sempadan, PKS – SBF

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 29 Okt (Bernama) -- Langkah pembukaan semula laluan perdagangan Tebedu-Entikong dapat mempergiat aktiviti ekonomi, meningkatkan perdagangan rentas sempadan serta menarik pelaburan antara Sarawak dan Kalimantan Barat, menurut Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

Presiden SBF Datuk Jonathan Chai Voon Tok berkata perhubungan lebih baik dan operasi sempadan yang lebih cekap, dapat meminimumkan kos logistik, meluaskan akses pasaran, memperkukuh rantaian bekalan serta mewujudkan peluang pelaburan baharu yang merangkumi pelbagai sektor ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner

“Pembukaan semula laluan perdagangan itu memberi potensi besar dari segi meningkatkan perdagangan, pelaburan dan aktiviti ekonomi serantau. Sarawak dan Kalimantan Barat misalnya hampir dari segi geografi serta mempunyai kekuatan ekonomi yang saling melengkapkan.

“Sektor yang berpotensi meraih manfaat itu adalah pertanian dan pengeluaran makanan, pembuatan, perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan logistik, pergudangan, pelancongan serta hospitaliti,” katanya kepada Bernama.

Pada 9 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2027 berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mempercepat pembukaan semula laluan perdagangan Tebedu-Entikong selain meneruskan kerja menaik taraf infrastruktur jalan raya di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan bagi memudahkan pergerakan dua hala.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengulas selanjutnya, Chai berkata pembukaan semula laluan itu turut memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak untuk menembusi pasaran baharu, menjalin kerjasama rentas sempadan, menyertai rantaian bekalan serantau serta mengembangkan operasi perniagaan masing-masing.

“Bagi memaksimumkan peluang itu, kerajaan kedua-dua negara perlu mewujudkan langkah khusus bagi memudah cara PKS. Ini termasuk perkhidmatan nasihat di satu kemudahan sehenti, memudah cara proses pendaftaran dan pelesenan, program padanan perniagaan, misi perdagangan, maklumat pasaran serta bantuan berkaitan pematuhan kastam dan produk.

“Sehubungan itu, satu mekanisme pelaksanaan bersama perlu diwujudkan segera yang melibatkan pihak berkuasa Persekutuan, negeri dan wilayah, kastam, agensi keselamatan sempadan serta wakil perniagaan bagi memantau kemajuan serta menyelesaikan kekangan operasi,” katanya.

Chai berkata kerajaan-kerajaan terbabit juga perlu bertindak dari segi pengharmonian atau penyelarasan prosedur perdagangan, memperkukuh keupayaan kastam, melaksanakan sistem pelepasan digital yang cekap dan menghapuskan halangan kawal selia tidak perlu bagi memastikan kelancaran dagangan rentas sempadan.

“Indikator prestasi yang jelas, termasuk jumlah dagangan, tempoh pelepasan kastam, tahap pelaburan, penyertaan perniagaan serta akses PKS juga perlu diwujudkan dengan kemajuannya dinilai secara berkala manakala tindakan pembetulan perlu diambil apabila sasaran tidak dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata SBF bersedia menyumbang dari segi kepakaran industri selain memudah cara libat urus dengan komuniti perniagaan untuk menyokong integrasi ekonomi yang lebih baik antara Sarawak dan Kalimantan Barat.

-- BERNAMA