Meneroka ‘Steel Dome’ Turkiye Dijana AI : Dron Murah Jadi Ancaman Yang Menelan Belanja Besar

Daripada Hafzi Mohamed

(Wartawan foto BERNAMA Hafzi Mohamed baru-baru ini dijemput ke Konya, Turkiye untuk membuat liputan berita dan melihat sendiri seni bina sistem pertahanan udara Steel Dome keluaran ASELSAN serta menyaksikan sistem antipesawat KORKUT 35 beraksi.)

 

Ad Banner
Ad Banner

KONYA (Turkiye), 29 Okt (Bernama) -- Bunyi dentuman kuat tembakan meriam antipesawat bergema di seluruh lapang sasar tentera di Konya, Turkiye, ketika sebuah sistem pertahanan canggih memperlihatkan keupayaan tentera moden untuk menangkis serangan dron yang kini menjadi antara ancaman keselamatan paling pesat berkembang.

Di Pusat Ujian Tembakan Karapinar pada 23 September, kira-kira 250 kilometer ke selatan Ankara, BERNAMA menyaksikan sendiri bagaimana syarikat teknologi pertahanan Turkiye, ASELSAN, menggabungkan radar, kecerdasan buatan (AI) dan persenjataan canggih untuk mengesan, menjejak dan meneutralkan simulasi sasaran udara.

Tumpuan utama demonstrasi itu ialah KORKUT 35 iaitu sistem meriam antipesawat bergerak yang direka untuk memintas dron yang terbang rendah dan ancaman lain sebelum sampai ke sasaran.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Demonstrasi itu memberi gambaran tentang perubahan landskap medan perang apabila dron yang berharga relatif murah mampu memusnahkan aset ketenteraan dan infrastruktur kritikal yang bernilai jutaan dolar.

Penggunaan meluas dron kamikaze yang membawa bahan letupan sebelum merempuh sasaran serta peluru berpandu jelajah dalam konflik seperti di Ukraine dan Asia Barat telah mengubah landskap peperangan udara dengan lebih meluas.

Perkembangan ini turut mendedahkan dilema yang menelan belanja besar iaitu penggunaan peluru berpandu pemintas yang mahal untuk menembak jatuh dron murah yang boleh menghabiskan peruntukan pertahanan dan bekalan peluru sesebuah negara dengan cepat.

 

Pendekatan Lebih Bijak untuk Mempertahankan Ruang Udara

 

Bagi menangani cabaran ini, Türkiye telah membangunkan Steel Dome atau Çelik Kubbe iaitu rangkaian pertahanan udara dijana AI yang menghubungkan radar, sensor, sistem peperangan elektronik serta persenjataan di bawah struktur perintah tunggal dan kawalan bersepadu.

Steel Dome menawarkan beberapa lapisan perlindungan dan bukannya bergantung pada satu jenis senjata sahaja iaitu daripada sistem pertahanan dron jarak dekat sehingga ke sistem jarak jauh yang berupaya menangkis ancaman udara yang lebih canggih.

Sistem ini boleh diibaratkan sebagai pusat otak yang mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sensor, mengenal pasti ancaman yang menghampiri dan membantu operator memilih tindak balas yang paling berkesan.

Sesetengah dron boleh dilumpuhkan secara elektronik dengan mengganggu isyarat komunikasi atau navigasinya manakala dron lain perlu dipintas secara fizikal menggunakan meriam atau peluru berpandu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASELSAN Ahmet Akyol berkata sistem bersepadu sedemikian kini menjadi keperluan penting memandangkan dron semakin mempengaruhi corak peperangan moden.

“Seperti yang diketahui, dunia kini sedang menyaksikan revolusi dron. Oleh itu, Steel Dome merupakan penyelesaian untuk menangani revolusi dron ini.

“Apa yang kita lihat di seluruh dunia, pertahanan udara dan pertahanan dron bukan sekadar aktiviti ketenteraan, malah turut menjadi sebahagian daripada keselamatan negara dan keselamatan industri,” katanya kepada BERNAMA semasa lawatan media antarabangsa ke ibu pejabat ASELSAN di Ankara.

Menurut Akyol ASELSAN menggunakan model AI khusus yang dibangunkan dalam rangkaian selamat untuk aplikasi ketenteraan termasuk radar, sonar, sistem optik dan sistem bidikan sasaran.

Tidak seperti platform AI yang tersedia untuk kegunaan awam, sistem ini direka untuk memproses data pertahanan khusus dan menyokong operasi ketenteraan.

 

KORKUT 35: Benteng Pertahanan Terakhir

 

Kembali di lapang sasar, KORKUT 35 memperlihatkan bagaimana senjata jarak dekat dapat melengkapi sistem pertahanan udara yang lebih canggih.

Dipasang pada kenderaan berperisai, dua meriam berkaliber 35 milimeter (mm) pada sistem itu mampu melepaskan sejumlah 1,200 butir peluru seminit dan menyerang sasaran pada jarak sehingga empat kilometer.

Peluru ATOM yang boleh diprogramkan dan digunakan oleh sistem itu direka untuk meletup berhampiran sasaran lalu menyebarkan serpihan tungsten yang boleh merosakkan atau memusnahkan dron tanpa memerlukan tembakan tepat mengenai sasaran.

Disokong oleh radar yang mampu mengesan ancaman pada jarak sehingga 70 kilometer, KORKUT 35 merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan berlapis yang bertujuan menangkis ancaman udara yang berjaya menembusi sistem pertahanan jarak jauh.

Bunyi dentuman tembakan meriam yang kuat dan tindak balas pantas semasa demonstrasi itu menggambarkan betapa kelajuan, ketepatan dan penyelarasan kini sama pentingnya dengan kuasa tembakan.

Bagi negara yang berdepan serangan dron berulang kali, cabarannya kini bukan lagi sekadar sama ada ancaman yang menghampiri dapat dimusnahkan tetapi bagaimana untuk berbuat demikian dengan berkesan tanpa menghabiskan sumber pertahanan yang menelan belanja besar.

 

Mengapa Hal Ini Penting kepada Malaysia?

 

Walaupun Malaysia tidak berdepan ancaman di medan perang seperti yang dihadapi Ukraine atau negara-negara di Asia Barat, peningkatan penggunaan dron menimbulkan persoalan penting tentang perlindungan lapangan terbang, pelabuhan, kemudahan tenaga, fasiliti ketenteraan dan rangkaian komunikasi.

Perkara ini turut menonjolkan kepentingan membangunkan kepakaran pertahanan tempatan dan mengurangkan kebergantungan pada teknologi asing, khususnya dalam aspek komunikasi ketenteraan yang sensitif.

Malaysia dan Türkiye terus memperkukuh kerjasama dalam industri pertahanan dengan ASELSAN menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan termasuk Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), Sapura Group dan NAVAMAS.

Akyol menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik utama dan ASELSAN bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk membangunkan infrastruktur komunikasi selamat yang akan memberi kerajaan Malaysia kawalan lebih besar terhadap sistem enkripsi dan teknologi komunikasinya.

“Kami kini sedang mengadakan perbincangan dan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk melaksanakan projek berskala besar bagi membangunkan infrastruktur ini di Malaysia.

“Kami akan menyediakan infrastruktur itu yang membolehkan kerajaan Malaysia mempunyai rangkaian teras enkripsi selamat, rangkaian teras pengagihan utama enkripsi dan bentuk gelombang komunikasi sendiri,” katanya.

Teknologi ini akan membolehkan Malaysia mengurus dan melindungi komunikasi sensitif menggunakan sistem yang berada di bawah kawalannya sendiri.

Akyol menyatakan kerjasama itu turut melibatkan pemindahan teknologi yang membolehkan rakan kongsi Malaysia membangunkan keupayaan tempatan dan melaksanakan perisian selamat secara kendiri.

Walaupun kerjasama ini tidak menunjukkan bahawa Malaysia akan memperoleh sistem Steel Dome, perkembangan berkenaan mencerminkan peralihan yang lebih luas ke arah kemandirian teknologi dalam pertahanan negara.

Bagi Malaysia, keselamatan masa hadapan bukan sahaja bergantung pada teknologi yang dibeli oleh sesebuah negara, tetapi juga pada keupayaannya untuk membangunkan, mengawal dan mengekalkan teknologi itu secara kendiri.

-- BERNAMA