PHB Beli Kompleks Logistik Berharga RM300 Juta Di P. Pinang Daripada Titijaya

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) membeli aset hartanah logistik di Bayan Lepas Waterfront, Pulau Pinang, daripada Titijaya Land Bhd pada harga kira-kira RM300 juta.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, PHB dan Titijaya berkata kompleks komersial logistik itu disewakan sepenuhnya kepada DHL Properties (Malaysia) Sdn Bhd, sekali gus menyediakan aliran pendapatan sewa yang stabil kepada PHB.

“Menerusi pembelian ini, segmen logistik kini menyumbang kira-kira 11 peratus daripada keseluruhan portfolio hartanah pelaburan PHB, mencerminkan tumpuan syarikat yang semakin meningkat terhadap aset logistik dan perindustrian,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

Pengarah Urusan Kumpulan PHB Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata pembelian itu mengukuhkan kehadiran kumpulan berkenaan di antara hab logistik utama Malaysia, selain menyokong strategi kepelbagaian portfolionya.

Lokasi kompleks itu di Bayan Lepas Waterfront juga membolehkan syarikat memanfaatkan pertumbuhan berterusan sektor logistik Pulau Pinang, katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Datuk Lim Poh Yit berkata urus niaga dengan PHB itu mencerminkan komitmen syarikat untuk mewujudkan nilai melalui pelaburan hartanah berkualiti yang menjana pendapatan serta pengurusan aset strategik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kami kekal memberi tumpuan kepada perniagaan teras pembangunan hartanah dan meneroka peluang yang menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan serta mewujudkan nilai mampan untuk pihak berkepentingan,” katanya.

-- BERNAMA