Asian Pac Beli Tanah Kuantan Bernilai RM42.09 Juta Untuk Projek Komersial

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Asian Pac Holdings Bhd (APHB) telah memeterai perjanjian dengan KotaSAS Sdn Bhd untuk membeli 8.69 hektar tanah pajakan di Kuantan, Pahang bernilai RM42.09 juta dan menjalankan pembangunan komersial bersebelahan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM281.3 juta.

Kumpulan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata anak syarikat milik penuhnya, Wangsa Masyhur Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jual beli untuk pengambilan tanah itu, manakala sebuah lagi anak syarikat milik penuh, Everest Pioneer Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) meliputi kira-kira 11.41 hektar.

Petak bersebelahan yang berkeluasan lebih kurang 20.10 hektar dalam perbandaran KotaSAS, akan membolehkan kumpulan itu melaksanakan pembangunan bersepadu yang terdiri daripada pusat beli-belah dan lot kedai komersial

Ad Banner
Ad Banner

"Cadangan ini membuka peluang kepada APHB untuk mengembangkan kehadiran pembangunan hartanahnya termasuk mengukuhkan simpanan tanahnya secara strategik di Kuantan, sekali gus meningkatkan kedudukan kumpulan dalam sektor pembangunan hartanah di Semenanjung Malaysia," katanya.

Tanah itu diperuntukkan untuk sebuah pusat membeli-belah atau pembangunan komersial lain, dengan pusat membeli-belah berkenaan berfungsi sebagai sauh runcit selain menarik pengunjung ke presint komersial yang lebih luas.

Di bawah JDA tersebut, Everest Pioneer akan membangunkan lot kedai komersial dalam tiga fasa, merangkumi anggaran 90 hingga 100 unit setiap fasa dengan kos pembangunan kira-kira RM146.9 juta, tidak termasuk hak pemilikan tanah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

APHB berkata KotaSAS akan menerima lebih tinggi iaitu 18 peratus daripada GDV projek atau balasan terjamin minimum berjumlah RM62.03 juta, tertakluk kepada terma perjanjian.

Fasa kedua dan ketiga akan diteruskan hanya selepas jualan mencapai 80 peratus daripada unit dalam fasa sebelumnya selain pembayaran jumlah berkaitan yang perlu dibayar kepada KotaSAS.

Pembangunan akan dimulakan selepas mendapat semua kelulusan yang diperlukan, dijangka menjelang 2030, katanya.

Pembelian tanah akan dibayar secara progresif berdasarkan pencapaian yang dipersetujui, manakala baki kelayakan KotaSAS di bawah JDA akan dibayar secara progresif daripada hasil jualan.

Cadangan itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank, dengan gabungan pembiayaan masih belum dimuktamadkan. 

KotaSAS dimiliki sepenuhnya oleh Tanah Makmur Bhd.

-- BERNAMA