Kenanga IB Naikkan Unjuran Pertumbuhan LHPR Malaysia 2026 Kepada 7.4 Peratus Susulan Risiko Tenaga

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menaikkan unjuran pertumbuhan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi 2026 kepada 7.4 peratus daripada 6.4 peratus sebelum ini susulan risiko berterusan dalam pasaran tenaga akibat konflik berpanjangan di Asia Barat.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu memberitahu pertumbuhan harga pengeluar dijangka memuncak pada suku keempat 2026 sebelum menyederhana pada 2027 dengan andaian pasaran tenaga kembali stabil dan ringgit kekal kukuh.

Bank pelaburan itu menyatakan harga minyak mentah Brent mencatatkan purata US$102 setong pada September, meningkat daripada US$88.10 setong pada Ogos, berikutan konflik di Asia Barat yang berlarutan.

Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, bank pelaburan itu memaklumkan risiko masih cenderung ke arah peningkatan.

Kejutan bekalan yang berpanjangan akan meningkatkan kos pengangkutan, pembuatan dan pengeluaran makanan sekali gus melambatkan proses penyederhanaan pertumbuhan harga.

“Fenomena El Niño yang kuat, menurut jangkaan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) akan berterusan hingga suku pertama 2027, mengancam hasil pertanian dan meningkatkan risiko kenaikan harga makanan di peringkat huluan,” jelasnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kenyataan itu menambah bahawa sebarang langkah meredakan konflik di Asia Barat akan mengurangkan kos tenaga dengan cepat.

Sementara itu, mengenai kesan dalam negara, Kenanga IB menjelaskan pengguna masih terlindung daripada kenaikan harga tenaga buat masa ini.

Menurut Kenanga IB, Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menyederhana kepada 1.8 peratus pada September daripada 1.9 peratus pada Ogos apabila subsidi bahan api BUDI95 yang dikekalkan.

Selain itu perlindungan bil elektrik yang diperluas bagi penggunaan sehingga 800 kilowatt-jam dari September hingga Disember 2026, menyerap sebahagian besar kejutan harga tenaga.

“Kami mengunjurkan kos tenaga, pengangkutan barang dan input yang lebih tinggi akan memberi kesan kepada sektor logistik dan makanan secara berperingkat sekali gus meningkatkan IHP pada awal 2027.

“Kami mengekalkan unjuran IHP 2026 pada 1.9 peratus. Kami juga mengunjurkan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada 5 Nov, 2026 sebelum menaikkannya sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada suku pertama 2027,” tambahnya.

-- BERNAMA