NGC Energy Sasar Pertumbuhan Melalui Kerjasama Lebih Erat Dengan Pemegang Saham, Peluang Infrastruktur
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Penyedia penyelesaian gas petroleum cecair (LPG), NGC Energy Sdn Bhd berhasrat mengembangkan perniagaannya ke pasaran luar negara sambil memperkukuh kehadiran di pasaran domestik, disokong oleh struktur pemegang saham yang kian berkembang serta potensi peluang infrastruktur.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Julianna Kamaruddin berkata perubahan pemilikan melalui Perangsang Oil & Gas Sdn Bhd (POGSB) berpotensi menggabungkan kepakaran industri, keupayaan logistik dan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan NGC Energy.
Menurut beliau, pengaturan itu juga akan membolehkan NGC Energy memperkukuh perniagaan terasnya, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan selain meneroka peluang berkaitan termasuk potensi pembangunan kemudahan pendaratan LPG bagi meningkatkan daya saing serta menyokong pengembangan perniagaan di dalam dan luar negara.
“Perkembangan ini memberi kekuatan dan semangat baharu kepada NGC Energy dengan sokongan pemegang saham sedia ada dan baharu, sekali gus membolehkan kami meluaskan jangkauan perniagaan.
“Kami mahu menumpukan perhatian pada kekuatan kami dan perkara yang kami lakukan dengan terbaik pada masa ini. Dengan sokongan semua pihak dan rakan niaga, saya benar-benar yakin kami mampu membawa perniagaan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Perubahan pemilikan POGSB baru-baru ini yang sebelum ini dimiliki oleh Kumpulan Perangsang Selangor Bhd, menyusuli pengambilalihan yang melibatkan Manjaran Sdn Bhd dan kumpulan pemegang saham baharu yang dikaitkan dengan Rasmadi Corporation dan Mutiara Perlis Sdn Bhd.
Urus niaga itu mengekalkan pegangan saham POGSB sebanyak 40 peratus dalam NGC Energy manakala pemilikan dan kawalan POGSB beralih kepada pembeli baharu.
National Gas Company SAOG yang berpangkalan di Oman, rakan kerjasama NGC Energy sejak 14 tahun lepas, memegang baki 60 peratus pegangan saham.
Pengerusi National Gas Company SAOG Sheikh Abdulla Suleiman Hamed Al Harthy berkata pemegang saham baharu itu membawa keupayaan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan NGC Energy, bukan sahaja dari segi pelaburan kewangan, malah khususnya melalui kepakaran logistik dan komitmen untuk membangunkan perniagaan itu.
“Kami mahukan rakan kerjasama yang dapat menyumbang kepada perniagaan lebih daripada sekadar menyediakan modal.
“Mereka mempunyai kepakaran dalam bidang logistik manakala kami mengkhusus dalam LPG. Oleh itu, kami berpendapat bahawa gabungan kekuatan ini dapat membantu meningkatkan prestasi NGC Energy pada masa hadapan,” katanya.
Infrastruktur Perlis Buka Peluang Pertumbuhan Baharu
Julianna menegaskan keupayaan rantaian bekalan akan menjadi faktor utama dalam memperkukuh daya saing NGC Energy, khususnya menerusi potensi kerjasama dengan rakan kerjasama yang terlibat dalam projek logistik dan pembangunan infrastruktur.
“Rantaian bekalan amat penting bagi kami. Melalui kerjasama dengan POGSB dan potensi peluang yang muncul daripada projek-projek infrastruktur, kami percaya bahawa kami mempunyai kelebihan dan asas yang kukuh untuk meningkatkan daya saing serta memperkukuh kedudukan kami dalam pasaran semasa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi POGSB Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata projek pelabuhan yang dirancang oleh Mutiara Perlis iaitu Pelabuhan Perlis Sanglang (PSP) berpotensi membuka peluang kepada NGC Energy untuk terlibat dalam pembangunan kemudahan pendaratan LPG dan memperkukuh rantaian bekalannya.
Mutiara Perlis merupakan pemaju induk Koridor Maritim Perlis (PMC) bernilai RM27.8 bilion iaitu projek infrastruktur logistik utama yang merangkumi PSP, Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Hab Tenaga Perlis.
Projek PSP dijadualkan dilancarkan pada 28 Oktober.
Shabaruddin berkata kemudahan pendaratan LPG akan menjadi komponen utama pembangunan pelabuhan itu sekali gus berpotensi menyediakan rantaian bekalan yang lebih bersepadu dan meningkatkan daya saing NGC Energy dalam pasaran domestik.
“Kami ingin melihat kemungkinan mewujudkan rantaian bekalan bersepadu dalam syarikat bagi memperkukuh daya saing kami pada masa hadapan dan membawa perniagaan LPG NGC Energy ke tahap yang lebih tinggi di Malaysia,” katanya.
Beliau menyatakan NGC Energy juga boleh mempertimbangkan untuk bertapak di PIP, sebuah kemudahan seluas 202.34 hektar yang dihubungkan dengan rangkaian rel dan diwartakan sebagai zon komersial bebas.
Shabaruddin memaklumkan, infrastruktur itu boleh melengkapi operasi LPG NGC Energy dengan menyokong pergerakan bekalan dan silinder gas selain menyediakan pangkalan berpotensi bagi syarikat itu memperkukuh rantaian bekalannya dan meneroka peluang pembangunan pasaran.
Jaminan Bekalan Penting Ketika Industri LPG Berdepan Cabaran pada 2027
Julianna menjelaskan jaminan bekalan akan terus menjadi keutamaan utama NGC Energy memandangkan ketegangan geopolitik dan perubahan aliran perdagangan global terus memberi kesan kepada industri LPG.
Beliau berkata Malaysia masih mempunyai akses kepada bekalan daripada kilang penapisan domestik yang membantu mengurangkan kesan gangguan terhadap bekalan import, meskipun syarikat itu terus berdepan cabaran berikutan kos pengangkutan laut dan insurans yang lebih tinggi.
“Keadaan sekarang amat tidak menentu. Apa yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini, baik dalam industri mahupun di peringkat global serta kesannya terhadap negara kita, amat dikesali. Saya percaya ketidaktentuan ini akan berterusan buat masa ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa kesan perkembangan geopolitik terkini akan mengambil masa untuk reda dengan 2027 dijangka menjadi tahun yang amat mencabar bagi industri berkenaan.
“Tahun depan akan menjadi tempoh yang amat mencabar bagi kami. Oleh itu, jaminan bekalan akan menjadi aspek kritikal bagi negara dan kami perlu bekerjasama dengan semua pihak untuk menghadapi cabaran ini bersama-sama,” jelasnya.
Julianna memberitahu LPG diperoleh melalui pedagang serantau dengan bekalan berasal dari pelbagai bahagian dunia termasuk Asia Barat dan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, pemerolehan bekalan dari pasaran yang lebih jauh telah meningkatkan kos pengangkutan berikutan laluan perkapalan yang lebih panjang, caj tambang pengangkutan laut yang lebih tinggi dan premium insurans yang meningkat.
Beliau menambah bahawa kerjasama antara pemain industri, agensi kerajaan dan rakan niaga amat penting bagi memastikan bekalan LPG yang stabil dan boleh dipercayai kepada isi rumah serta perniagaan di Malaysia.
-- BERNAMA