KPK Perkukuh Oleokimia Khusus, Produk Kesihatan Sawit Bagi Kurangkan Kebergantungan Eksport MSM
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memperkukuh sektor oleokimia khusus serta pembangunan produk nutraseutikal dan farmaseutikal berasaskan sawit untuk mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak sawit mentah (MSM).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata langkah itu penting untuk melindungi industri tempatan daripada risiko turun naik harga pasaran MSM global menerusi penghasilan produk hiliran bernilai tambah tinggi.
Beliau berkata antara pelan tindakan khusus yang sedang dan akan terus dilaksanakan adalah membimbing industri untuk menghasilkan produk bertaraf premium bagi pasaran kosmetik, penjagaan diri dan produk industri khusus.
"Usaha itu akan dilaksanakan melalui penyelidikan dan perkhidmatan yang dijalankan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
"Kementerian turut membangunkan sektor nutraseutikal dan farmaseutikal dengan memanfaatkan kandungan bernilai tinggi sawit seperti tokotrienol (vitamin E) dan karotena untuk produk kesihatan global bernilai tinggi," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai pelan tindakan khusus kementerian bagi mempercepat peralihan industri daripada kebergantungan eksport MSM kepada produk hiliran bernilai tambah tinggi serta sasaran peningkatan nilai eksport sektor berkenaan.
Huang berkata dengan nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang telah melepasi paras RM100 bilion, kementerian yakin produk hiliran yang diproses dalam negara berpotensi menjadi antara penyumbang utama kepada nilai eksport.
"Menjelang 2030, kementerian menyasarkan nilai eksport produk agrikomoditi negara terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, khususnya melalui peningkatan sumbangan produk hiliran bernilai tambah tinggi," katanya.
Terdahulu, menjawab soalan asal, beliau berkata KPK memberi penekanan kepada strategi di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN2030), khususnya menerusi teras penjanaan nilai dan pembangunan pasaran, bagi memperkukuh pembangunan industri hiliran sektor agrikomoditi.
"Kedua-dua teras itu memberi tumpuan kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi melalui pembangunan aplikasi baharu, kepelbagaian dan peningkatan kompleksiti produk, di samping memperluas akses pasaran dengan memanfaatkan rantaian bekalan global.
"Strategi itu turut disokong oleh teras produktiviti yang menekankan pengukuhan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi serta penerapan teknologi bagi meningkatkan keupayaan industri tempatan," tambah beliau.
Beliau menjawab soalan Shamshulkahar yang ingin tahu strategi memperkukuh industri hiliran komoditi untuk meningkatkan nilai tambah produk tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah serta memperluas peluang industri dan pendapatan kepada pekebun kecil.
Huang berkata antara inisiatif kementerian adalah menggalakkan penghasilan produk berasaskan sawit seperti oleokimia, serat, bahan biokomposit dan bahan biokimia.
Beliau berkata kementerian turut meningkatkan kadar adunan biobahan api berasaskan sawit ke dalam diesel bagi kegunaan domestik serta memajukan industri biobahan api generasi kedua berasaskan sisa melalui pengeluaran biobahan api seperti bahan api penerbangan mampan (SAF).
"Pada masa sama, kementerian menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam penghasilan produk bernilai tambah bagi membuka peluang ekonomi dan meningkatkan potensi pendapatan mereka," tambah beliau.
-- BERNAMA