BERITA TERKINI   Seorang lelaki maut dipercayai tertimbus tanah berhampiran tangki air Taman Kedidi, Pasir Gudang pagi tadi - Bomba | Semua institusi pendidikan di Johor kembali beroperasi Isnin ini susulan trend penurunan bacaan IPU sejak lima hari lepas – Exco | Kenaikan harga petrol dunia: kerajaan sedia tanggung subsidi hingga RM45 bilion setahun, elak rakyat terbeban - PM Anwar | KDN serah urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah AKPS kepada KSU KDN dan KSN – Saifuddin Nasution | JPN keluarkan 275,785 MyKad generasi baharu setakat 20 Okt , Johor tertinggi sebanyak 31,392 kad - Saifuddin Nasution | 

EPIC Raih Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan Di AKI 2026

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- EPIC Bhd buat julung kalinya meraih Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (Kategori 4) pada Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026.

EPIC ialah syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu di bawah Kumpulan Terengganu Inc.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Muhtar Suhaili berkata pengiktirafan tersebut merupakan hasil dedikasi seluruh warga kerja dalam memacu kemajuan syarikat selain mencerminkan keupayaan Kumpulan EPIC dalam sektor perkhidmatan industri serta komitmennya terhadap kecemerlangan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan. 

Ad Banner

“Kejayaan merangkul anugerah ini membawa makna yang cukup besar buat Kumpulan EPIC kerana ia adalah hasil komitmen yang digalas bersama dalam membangunkan organisasi yang berdaya saing, berorientasikan prestasi dan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Pengiktirafan ini juga menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan standard prestasi, memperkukuh keupayaan organisasi dan memastikan pertumbuhan yang dicapai dapat dikekalkan secara mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (Kategori 4) dikhususkan kepada syarikat tempatan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM100 juta. Dalam kategori berkenaan, EPIC tercalon bersama dua lagi pemain industri pelabuhan negara, iaitu Northport Malaysia Berhad dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, sebelum dinobatkan sebagai pemenang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Menara MITI di sini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, EPIC mencatatkan prestasi kewangan terbaik dalam sejarah syarikat dengan hasil sebanyak RM411.9 juta berbanding RM403.8 juta pada tahun kewangan 2024.

Keuntungan sebelum cukai turut meningkat kepada RM36.9 juta berbanding RM28.4 juta pada tahun sebelumnya manakala keuntungan selepas cukai naik kepada RM20.6 juta daripada RM16.6 juta sebelum ini.  

Muhtar berkata di bawah Pelan Perniagaan Strategik EPIC 2025–2030 (EPIC BEST 2530), syarikat akan memperkukuh perniagaan teras, meningkatkan kecekapan operasi dan meneroka peluang pertumbuhan yang berpotensi memberikan nilai jangka panjang.

“Keutamaan kami adalah memastikan pertumbuhan perniagaan disokong oleh asas kewangan yang stabil, tadbir urus yang baik dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan industri,” katanya.

Seiring dengan persekitaran industri yang semakin kompetitif, katanya EPIC akan terus memperkukuh keupayaan operasi, menambah baik fasiliti dan melaksanakan projek strategik, termasuk Projek Pembesaran Pelabuhan Kemaman dan Laluan Sisihan ECRL.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk meningkatkan daya saing perniagaan, memenuhi keperluan pasaran yang berkembang dan memanfaatkan peluang pertumbuhan yang selari dengan kepakaran serta hala tuju strategiknya,” katanya. 

-- BERNAMA