EPIC Dinamakan Finalis Sebagai Operator Pelabuhan Terbaik Pada TXA Awards 2026
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, EPIC Bhd telah dinobatkan sebagai finalis di Anugerah Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 dalam kategori Operator Pelabuhan Terbaik.
Syarikat itu yang membawa pulang gelaran itu telah disenaraikan bersama Westports Holdings Bhd dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Dr Muhtar Suhaili berkata pengiktirafan itu mencerminkan pencapaian ketara kumpulan dan anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB). Ia juga mengiktiraf pengurusan Pelabuhan Kemaman dalam meningkatkan produktiviti operasi, mengukuhkan kecekapan pengendalian kargo serta menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan maritim Pantai Timur Malaysia.
“Kejayaan kami untuk mara sebagai finalis di samping pengendali pelabuhan terkemuka negara menunjukkan usaha kolektif dan komitmen pasukan pengurusan serta kakitangan kami dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi sambil terus melonjakkan produktiviti.
“Ia mencerminkan pengukuhan kecekapan operasi termasuk memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan kekal menjadi keutamaan utama dalam pengurusan Pelabuhan Kemaman. Kami melihat pengiktirafan ini sebagai motivasi selanjutnya untuk meningkatkan keupayaan pelabuhan dalam menyokong pertumbuhan perindustrian serta pembangunan ekonomi di Terengganu dan Pantai Timur Malaysia,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Pencapaian ini akan memacu lagi usaha berterusan EPIC untuk meningkatkan prestasi operasi, memantapkan infrastruktur dan mengembangkan kapasiti pelabuhan bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang.
Majlis Anugerah TXA yang diadakan di Hyatt Regency Kuala Lumpur semalam, disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Diterajui oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Anugerah TXA merupakan pengiktirafan kebangsaan yang diadakan sempena Ekspo Pengangkutan Asia 2026 untuk meraikan kecemerlangan, inovasi dan kepimpinan merentasi ekosistem pengangkutan serta logistik Malaysia.
Ia merangkumi 10 kategori yang mengiktiraf pencapaian merentasi pelbagai sektor, seperti pengangkutan darat, kereta api, maritim, penerbangan dan logistik.
-- BERNAMA