Unit CelcomDigi Cadang Program Sukuk Murabahah RM10 Bilion
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh CelcomDigi Bhd iaitu CelcomDigi Telecommunications Sdn Bhd (CelcomDigi Tel) mencadangkan penubuhan program Sukuk Murabahah dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion bagi membiayai keperluan korporat dan pembiayaan semula.
CelcomDigi dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memberitahu CelcomDigi Tel telah mengemukakan maklumat yang diperlukan dan dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di bawah rangka kerja serah dan simpan.
“Program nota jangka sederhana Islam itu yang mempunyai tempoh matang kekal, berlandaskan prinsip syariah Murabahah menerusi aturan Tawarruq.
“Hasil yang diperoleh akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, modal kerja, keperluan pembiayaan am dan tujuan korporat am penerbit, anak-anak syarikatnya serta Kumpulan CelcomDigi,” jelasnya.
Menurut syarikat telekomunikasi itu, dana berkenaan juga boleh digunakan untuk membiayai semula pinjaman konvensional atau pembiayaan Islam sedia ada serta pembiayaan Islam pada masa hadapan termasuk penebusan Sukuk Murabahah yang masih belum ditebus dan diterbitkan di bawah program itu.
Kegunaan lain termasuk membayar fi dan perbelanjaan berkaitan penubuhan program itu serta terbitan sukuk.
CelcomDigi menyatakan bahawa hasil daripada terbitan di bawah program berkenaan akan sentiasa digunakan bagi tujuan yang mematuhi prinsip syariah.
Program tersebut yang diberi penarafan AAA oleh RAM Rating Services Bhd turut menyediakan fleksibiliti untuk penerbitan Sukuk Murabahah kemampanan dan Sukuk Murabahah berkaitan kemampanan yang mematuhi garis panduan, rangka kerja, piawaian atau prinsip yang berkaitan.
AmInvestment Bank Bhd dan CIMB Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi program berkenaan manakala AmBank Islamic Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd bertindak sebagai penasihat syariah bersama.
-- BERNAMA