BERITA TERKINI   Istana Negara teliti inisiatif bantu remaja yang berdepan tekanan emosi, masalah kesihatan mental | Raja Permaisuri Agong zahir kebimbangan terhadap isu kesihatan mental kanak-kanak, remaja | MCMC siasat kegagalan platform media sosial sekat penstriman langsung serangan di sekolah antarabangsa di Sarawak - Fahmi | LLM, Prosignal Consortium perlu beri penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi pengguna aplikasi TuJu - Fahmi | KSN adakan mesyuarat bersama KSU beberapa kementerian, teliti isu penggunaan aplikasi navigasi - Fahmi | 

AiSEM@Selangor 2026 Catat Potensi Nilai Dagangan Kasar RM430 Juta

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor (AiSEM@Selangor) 2026 berpotensi mencatatkan nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak RM430 juta dan menarik 23,333 kunjungan sepanjang empat hari penganjurannya sebelum melabuhkan tirai pada 17 Okt, 2026.

Dianjurkan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), AiSEM@Selangor 2026 menghimpunkan pereka cip, inovator dalam bidang AI dan robotik, syarikat pemula niaga dan pencari kerja dari seluruh Malaysia di bawah satu bumbung.

Sidang kemuncak itu, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, turut dianjurkan oleh Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor Malaysia dan Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia (ASEM), serta berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Ad Banner

Dalam satu kenyataan, Sidec memaklumkan acara itu turut menampilkan Persidangan AI dan Semikonduktor selama dua hari yang merangkumi Persidangan Semikonduktor pada 15 Okt dan Persidangan Inovasi AI pada 16 Okt, menghimpunkan 40 penceramah tempatan dan antarabangsa.

Majlis perasmian itu turut menyaksikan pelancaran rasmi AiSEM, pameran robotik dan pertukaran 12 kerjasama, termasuk memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum kerjasama (MoC), yang merangkumi pembangunan bakat, fabrikasi cip, pengkomputeran robotik dan pengkomputeran AI, dengan nilai potensi dianggarkan sebanyak RM65 juta.

“Lebih 20 robot dan mesin autonomi turut dipamerkan di ruang pameran di KLCC,” tambahnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Acara itu turut menampilkan Hari Pengambilan Pekerja Semikonduktor Malaysia (MSRD) 2026, yang dianjurkan bersama ASEM dan menarik lebih 8,000 pencari kerja dengan lebih 60 majikan dalam sektor semikonduktor.

Ia juga menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan, lebih dua kali ganda berbanding jumlah lebih 600 peluang pekerjaan pada tahun lepas.

“Sidang kemuncak itu melabuhkan tirai pada 17 Okt dengan Hari Demo Edisi Malaysia - ChampionCHIP eXperience, iaitu program pembangunan bakat reka bentuk litar bersepadu (IC) Malaysia-Brazil yang dikendalikan oleh ASEM,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata AiSEM berfungsi sebagai platform bagi pemain industri teknologi di Selangor untuk menjalin hubungan, bekerjasama dan meneroka peluang perniagaan.

“AiSEM merupakan platform yang menghimpunkan semua pihak dalam ekosistem teknologi Selangor, termasuk pereka cip, syarikat pemula niaga, syarikat AI dan bakat yang diperlukan oleh mereka.

“Tahun ini, keempat-empat kumpulan itu berhimpun di bawah satu bumbung dan hasilnya jelas kelihatan. Tugas kami kini adalah untuk menterjemahkan hubungan yang terjalin di sini kepada kontrak, produk dan peluang pekerjaan,” tambahnya.

-- BERNAMA