BERITA TERKINI   Istana Negara teliti inisiatif bantu remaja yang berdepan tekanan emosi, masalah kesihatan mental | Raja Permaisuri Agong zahir kebimbangan terhadap isu kesihatan mental kanak-kanak, remaja | MCMC siasat kegagalan platform media sosial sekat penstriman langsung serangan di sekolah antarabangsa di Sarawak - Fahmi | LLM, Prosignal Consortium perlu beri penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi pengguna aplikasi TuJu - Fahmi | KSN adakan mesyuarat bersama KSU beberapa kementerian, teliti isu penggunaan aplikasi navigasi - Fahmi | 

Invest Malaysia Day 2026 Tonjol peluang Pertumbuhan Bagi Perniagaan Singapura

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), CIMB Singapore dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) telah bersama-sama menjayakan acara pertama Invest Malaysia Day 2026 di Singapura.

Acara itu menghimpunkan lebih 200 pelabur dan wakil perniagaan untuk meneroka peluang pelaburan serta kerjasama di Malaysia.

Ketiga-tiga organisasi itu dalam kenyataan bersama memaklumkan forum berkenaan menekankan kepentingan hubungan ekonomi Singapura-Malaysia yang semakin berkembang menerusi usaha menghubungkan peserta dengan wakil agensi pelaburan persekutuan Malaysia, pihak berkuasa pembangunan wilayah serta rakan ekosistem.

Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata MIDA komited untuk membantu pelabur mengenal pasti lokasi yang sesuai, memahami persekitaran kawal selia dan insentif serta menghubungkan mereka dengan agensi persekutuan dan negeri yang berkaitan.

Menurutnya pendekatan bersepadu MIDA bertujuan memudahkan proses membuat keputusan pelaburan selain menyokong syarikat dalam menubuhkan dan mengembangkan operasi mereka di Malaysia.

“Malaysia menawarkan peluang kepada syarikat Singapura dalam pelbagai sektor pertumbuhan, disokong oleh ekosistem perindustrian yang mantap serta hubungan serantau yang kukuh.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Inisiatif nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menyediakan lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor pembuatan, ekonomi digital, logistik, tenaga boleh baharu, penjagaan kesihatan dan teknologi termaju,” katanya.

Ketua Perbankan Komersial dan Transaksi CIMB Singapore Benjamin Tan berkata Singapura dan Malaysia berkongsi antara perkongsian ekonomi paling saling berhubung di ASEAN, yang disokong oleh hubungan perdagangan, pelaburan dan perniagaan yang erat.

Menurutnya usaha memperkukuh hubungan itu penting bagi membuka peluang baharu di seluruh rantau ini ketika Singapura membuat persiapan untuk mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada tahun depan.

Ketua Pengantarabangsaan merangkap Ketua Pegawai Perusahaan Pintar bagi Bahagian Perniagaan Antarabangsa SBF Lee Yee Fung berkata Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan yang menarik bagi perniagaan Singapura, dengan menawarkan lokasi strategik, infrastruktur kukuh, tenaga kerja mahir serta sokongan kerajaan yang jelas terhadap pelaburan.

“Melalui Invest Malaysia Day 2026, SBF menyokong syarikat pada setiap peringkat perjalanan mereka di Malaysia, daripada fasa penerokaan sehingga pengembangan, dengan menyediakan akses terus kepada agensi persekutuan dan negeri, rakan kewangan serta pemain industri,” katanya.

Acara yang berlangsung pada 22 Oktober di Singapura itu turut membawakan 10 pempamer yang terdiri daripada agensi kerajaan negeri dan pemaju taman perindustrian untuk berkongsi peluang pelaburan serta sokongan perniagaan yang tersedia di seluruh Malaysia.

Pameran itu turut memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi pelaburan, wakil kerajaan negeri, pemaju dan rakan kongsi ekosistem bagi membincangkan perancangan untuk memasuki pasaran dan pelan pengembangan.

-- BERNAMA