BERITA TERKINI   Istana Negara teliti inisiatif bantu remaja yang berdepan tekanan emosi, masalah kesihatan mental | Raja Permaisuri Agong zahir kebimbangan terhadap isu kesihatan mental kanak-kanak, remaja | MCMC siasat kegagalan platform media sosial sekat penstriman langsung serangan di sekolah antarabangsa di Sarawak - Fahmi | LLM, Prosignal Consortium perlu beri penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi pengguna aplikasi TuJu - Fahmi | KSN adakan mesyuarat bersama KSU beberapa kementerian, teliti isu penggunaan aplikasi navigasi - Fahmi | 

Kepesatan Pembangunan Pusat Data Pacu Permintaan Prasarana Tenaga Johor

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Industri pusat data di Johor yang terus berkembang pesat dijangka memacu permintaan tenaga elektrik yang ketara, sekali gus membuktikan kepentingan untuk meneruskan pembangunan infrastruktur tenaga.

BMI, unit di bawah Fitch Solutions, menyatakan pusat data di negeri itu dijangka memerlukan tenaga elektrik kira-kira 30 terawatt-jam (TWh) setahun menjelang 2031 atau menyamai sekitar 18 peratus daripada bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia -- meningkat daripada enam peratus pada tahun ini.

“Ini lebih daripada 90 peratus pertambahan bersih penjanaan elektrik yang kami unjurkan bagi Semenanjung Malaysia dalam tempoh sama dan menekankan betapa terhadnya bekalan elektrik yang dijangka berlaku.

Ad Banner

“Semenanjung Malaysia misalnya berdepan keadaan bekalan dan permintaan elektrik paling ketat kerana gridnya tidak bersambung dengan Sarawak yang dijangka menjadi lokasi utama pertumbuhan tenaga hidro di Malaysia. Gas akan memenuhi sebahagian besar daripada permintaan ini,” maklum BMI dalam satu kenyataan.

BMI turut mengunjurkan kapasiti penjanaan elektrik termal akan meningkat sebanyak 3.0 gigawatt (GW) secara bersih sepanjang tempoh 2029 hingga 2031 daripada 33.3 GW pada 2028 kepada 36.3 GW pada 2031.

Dalam tempoh sama, penjanaan elektrik berasaskan gas dijangka meningkat sebanyak 13.6 TWh kepada 106.7 TWh.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Angka unjuran itu melebihi pertambahan bersih kira-kira 0.9GW yang berdasarkan data dirancang dengan peruntukan 7.9GW kapasiti gas baharu diperlukan bagi menggantikan 6.9GW kapasiti arang batu dan gas yang dijadualkan ditamatkan.

“Kami menjangkakan ada di antara penamatan itu yang mungkin ditangguhkan berikutan margin bekalan yang ketat,” menurut BMI.

Selain kapasiti penjanaan, BMI juga telah mengenal pasti aspek kesalinghubungan grid sebagai satu lagi  pertimbangan penting dalam menyokong pengembangan pusat data.

Menurutnya, ini berikutan infrastruktur fizikal memerlukan garis masa lebih panjang manakala pihak pengawal selia pula makin memperketatkan syarat penyambungan kepada grid.

Infrastruktur grid juga, maklum BMI, memerlukan masa yang lebih lama berbanding pembinaan pusat data yang menunjukkan kapasiti penjanaan elektrik yang diumumkan tidak semestinya mencerminkan jumlah bekalan elektrik boleh diakses segera bagi projek-projek baharu.

Di Johor, jumlah penggunaan keseluruhan grid hanya sekitar 30 peratus berdasarkan anggaran industri.

Permintaan daripada pusat data pula tertumpu di beberapa lokasi tertentu, khususnya Taman Teknologi Sedenak dan Nusajaya yang menyaksikan peningkatan permintaan terhadap pencawang elektrik dan sambungan grid tempatan.

Bagi menyokong pembangunan infrastruktur grid, Tenaga Nasional Bhd merancang pelaburan RM43 bilion bagi menaik taraf grid walaupun projek grid utama lazimnya memakan masa lima hingga 10 tahun untuk disiapkan.

Selain itu, menurut BMI, syarat penyambungan kepada grid juga kian diperketatkan.

Pada Februari 2026, Malaysia telah bertindak mengehadkan kelulusan bagi pusat data baharu yang bukan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk tempoh hampir dua tahun dengan pengendali diwajibkan membuktikan akses kepada bekalan elektrik dan air sendiri sebelum dibenarkan membuat sebarang penyambungan.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan lebih banyak akses kepada grid berbanding setakat ketersediaan kapasiti penjanaan tenaga elektrik yang diumumkan dan menjadi kekangan bagi pembangunan pusat data di serata pasaran ini.

“Oleh itu, projek-projek yang mendapat sambungan bekalan itu, sokongan komitmen penyewa serta akses kukuh terhadap pembiayaan, berkemungkinan besar dapat meneruskan jadual manakala projek yang berdepan keadaan sebaliknya hanya terdedah kepada lebih banyak penangguhan,” maklum BMI.

--  BERNAMA