Petronas, TotalEnergies Dan Mitsui Meterai JVA Bangunkan Kawasan Penyimpanan Karbon Di Hab Selatan
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas CCS Ventures Sdn Bhd (PCCSV), bersama TotalEnergies EP CCS Malaysia dan Mitsui & Co Ltd menandatangani perjanjian usaha sama (JVA) untuk membangunkan kawasan penyimpanan CO2 di luar pesisir Semenanjung Malaysia.
Pembangunan itu merupakan komponen utama Hab Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) Selatan Malaysia.
Fasa pertama ini menyasarkan medan gas yang kehabisan sumber di luar pesisir Semenanjung Malaysia dengan kapasiti suntikan yang dijangka mencecah sehingga 5.0 juta tan setahun. Suntikan pertama disasarkan seawal 2031 selaras dengan tahap kesediaan industri.
Ketua Pegawai Eksekutif PCCSV Emry Hashim Yusoff berkata perjanjian usaha sama itu mencerminkan kerjasama erat yang telah dibina oleh syarikat itu bersama rakan strategiknya selama ini.
Beliau menambah pihak-pihak berkenaan telah bekerjasama rapat untuk mematangkan peluang itu dan membentuk visi bersama bagi Hab CCS Selatan Malaysia sejak kajian pembangunan awal sehingga ke peringkat aktiviti kejuruteraan dan reka bentuk terperinci (FEED).
"Dengan menggabungkan kepakaran Petronas dalam bidang bawah permukaan, pengalaman global mereka dalam CCS serta keupayaan komersial dan logistik, kami yakin dapat mengekalkan momentum ini ke arah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) dalam masa terdekat, sambil memajukan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab CCS serantau yang terkemuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
JVA itu berasaskan perjanjian terdahulu yang ditandatangani oleh rakan kongsi berkenaan mengenai Perjanjian Pembangunan CCS pada 2023, yang menyaksikan pihak-pihak terlibat menjalankan kajian pembangunan dan penilaian teknikal terhadap kawasan berpotensi untuk penyimpanan karbon di luar pesisir Semenanjung Malaysia.
Pada 2025, pihak-pihak berkenaan meneruskan kerjasama dengan memeterai perjanjian prinsip utama, yang menjadi asas bagi pelaksanaan aktiviti kejuruteraan dan reka bentuk terperinci (FEED) serta pembentukan struktur usaha sama itu.
-- BERNAMA