Express Rail Link Berhasrat Jalin Kerjasama Dengan Universiti Bangunkan Bakat Dalam Teknologi Rel
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan kereta api lapangan terbang berkelajuan tinggi Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) berhasrat menjalin kerjasama lanjut dengan universiti untuk membangunkan bakat muda dan membina kepakaran tempatan dalam teknologi rel.
Ketua Pegawai Eksekutif Datin Noormah Mohd Noor berkata usaha membangunkan bakat baharu adalah sebahagian daripada matlamat syarikat untuk menyokong pembangunan jangka panjang dalam ketersambungan rel lapangan terbang di Malaysia.
ERL sedang bekerjasama dengan universiti untuk melatih bakat generasi akan datang, menyaksikan ia mengambil sejumlah besar pelatih, katanya.
Menurut Noormah, ERL baru-baru ini memulakan projek penting berkaitan kereta api dan melibatkan kira-kira 20 kakitangan kontrak sementara bagi memberi pendedahan kepada projek itu.
“Walaupun kami perlu membawa masuk syarikat luar negara untuk melaksanakan projek khusus ini, kami juga melibatkan bakat tempatan bagi membolehkan mereka memahami proses selain menimba pengalaman praktikal.
“Ini menjadi platform untuk kami membangunkan bakat di kalangan generasi muda,” katanya dalam wawancara di Bernama Mobile Studio sempena Ekspo Pengangkutan Asia 2026 (TXA 2026), yang diadakan di sini mulai 20 hingga 22 Okt.
Mengulas mengenai perkhidmatan rel, Noormah berkata ERL berharap untuk melihat lebih banyak penggunaan kemudahan daftar masuk di pusat bandar, yang menawarkan kemudahan tambahan kepada penumpang yang melakukan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Salah satu keunikan KLIA Ekspres ialah kami mempunyai kemudahan daftar masuk, yang hanya ditawarkan oleh lima perkhidmatan rel lapangan terbang lain. Saya rasa ini unik untuk penumpang.
“Saya berharap terdapat lebih banyak kemudahan daftar masuk di pusat bandar kerana ia sangat menyenangkan,” katanya.
Noormah berkata ERL juga mendapatkan kerjasama dengan pihak berkepentingan industri, rakan kongsi dan penyedia teknologi di TXA 2026 untuk meneroka teknologi baharu yang boleh meningkatkan perkhidmatannya.
Beliau berkata TXA 2026 adalah penting untuk ERL bertemu dengan pihak berkepentingan dan rakan kongsi.
“Dari segi pengedaran dan promosi, kami juga bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia bagi meneroka cara mempromosikan perjalanan yang cekap melalui KLIA Ekspres dan KLIA Transit,” tambahnya.
ERL telah beroperasi selama 24 tahun dan mengekalkan prestasi tepat masa sebanyak 99.7 peratus, mencerminkan kecekapan operasinya yang kukuh.
Syarikat itu juga menawarkan beberapa produk perjalanan bersepadu untuk meningkatkan ketersambungan antara KLIA dan pusat bandar seperti KL TravelPass, yang menggabungkan tiket KLIA Ekspres perjalanan sehala atau pergi balik dengan dua hari perjalanan tanpa had perkhidmatan Rapid KL melalui kerjasamanya dengan Rapid Rail.
Selain itu, ERL juga bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTM) untuk mempromosikan silang tiket di platform masing-masing, manakala pakej Discover KLnya menggabungkan tiket KLIA Ekspres dengan perkhidmatan “bas hop-on hop-off” (HOHO) berharga istimewa kepada para pelancong.
-- BERNAMA