Sektor Pengangkutan Perlu Utamakan Pertumbuhan, Kemampanan Alam Sekitar - Loke

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Masa depan sektor pengangkutan perlu menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan pada masa sama menangani cabaran alam sekitar secara bertanggungjawab, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Malaysia perlu terus meningkatkan kesalinghubungan antara mod pengangkutan, menambah baik kecekapan pergerakan barangan, menggalakkan penyelesaian mobiliti yang lebih mampan dan mengeratkan kerjasama serantau.

“Dalam ASEAN, kesalinghubungan yang lebih baik berupaya mengurangkan halangan perdagangan, memperkukuh rantaian bekalan dan membuka peluang baharu kepada perniagaan dan masyarakat,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah dan Makan Malam Gala Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di sini malam ini.

Ad Banner

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.

Loke berkata selain kemampanan, keselamatan dan inovasi juga adalah keutamaan dalam sektor pengangkutan.

Menurutnya Malaysia perlu terus memperkukuh budaya keselamatan, menambah baik penguatkuasaan, melaksanakan langkah intervensi berasaskan bukti serta memanfaatkan teknologi bagi mencegah kemalangan dan mengurangkan risiko.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Loke menegaskan bahawa pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan dan teknologi pengangkutan baharu mewujudkan peluang untuk meningkatkan kecekapan operasi, kebolehpercayaan perkhidmatan dan pengalaman penumpang.

“Tiga keutamaan ini iaitu keselamatan, inovasi serta kemampanan dan kesalinghubungan adalah saling berkaitan. Kesemua aspek ini menjadi asas kepada sistem pengangkutan yang berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Loke berkata kerajaan perlu terus menyediakan hala tuju dasar yang jelas, kawal selia yang berkesan dan persekitaran yang menyokong pertumbuhan.

Menurutnya industri pula perlu terus melaksanakan pelaburan, berinovasi dan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi.

“Institusi kita perlu membangunkan bakat dan kepakaran yang diperlukan bagi menyokong landskap pengangkutan yang terus berkembang,” katanya.

Loke berkata dengan menyelaraskan usaha berkenaan, Malaysia dapat mengukuhkan daya saing, mengeratkan kesalinghubungan serantau dan membangunkan ekosistem pengangkutan yang berdaya tahan, inklusif serta bersedia menghadapi masa depan.

-- BERNAMA