Konsortium Kerjaya Prospek Raih Kontrak TNB Bernilai RM568.19 Juta
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd, menerusi konsortium melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPMSB), meraih kontrak bernilai RM568.19 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk melaksanakan dan membina GIS Paka di Terengganu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kerjaya Prospek memaklumkan konsortium itu terdiri daripada KPMSB, anak syarikat milik penuh Jati Tinggi Group Bhd, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd (JTHSB) dan Betapac Sdn Bhd (BSB).
Usaha sama yang tidak diperbadankan itu dikenali sebagai Usahasama JTHSB-KPMSB-BSB, menerima surat anugerah daripada TNB semalam dan bersetuju menerima tawaran berkenaan hari ini, tambahnya.
"Projek ini akan disiapkan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh mula kerja.
“Di bawah perjanjian usaha sama itu, semua hak, manfaat, obligasi dan tanggungjawab yang timbul daripada atau berkaitan dengan pelaksanaan kontrak akan dibahagikan antara JTHSB, KPMSB dan BSB mengikut kadar masing-masing sebanyak 55 peratus, 25 peratus dan 20 peratus,” menurutnya.
Kumpulan itu memaklumkan kontrak berkenaan dijangka menjadi sumber pendapatan tambahan dalam tempoh dua tahun akan datang, sekali gus menambah dan mengukuhkan lagi nilai perolehan kontrak dalam tangan.
Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2026 hingga 2028, tambahnya.
– BERNAMA